Isnin, 12 Mac 2007

Amru ibnu al-Ass : Pembuka & Pembebas Mesir


Memeluk Islam
Amru Ibnu al-As merupakan seorang pemuda yang cerdik dan pintar serta mempunyai tubuh badan yang sempurna. Pada masa jahiliah beliau merupakan salah seorang yang amat membenci Rasulullah s.a.w dan dakwahnya. Pelbagai tekanan dan halangan difikirkan untuk menyekat pengaruh Islam daripada tersebar. Beliau pernah terlibat dalam peperangan menentang Islam dalam perang Badar, Uhud dan Khandak (Ahzab). Apabila melihat masyarakat Quraish semakin menerima dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, Amru memikirkan cara yang piling berkesan untuk menekan golongan Islam. Ketika golongan Islam berhijrah ke Habsyah dan memohon perlindungan daripada Raja Najasyi, Amru mencadangkan agar mereka berjumpa dengannya untuk membawa pulang golongan Islam tersebut. Mereka turut membawa hadiah berupa barang makanan yang menjadi kegemaran Raja Najasyi. Ketika masuk berjumpa dengan Raja Najasyi, seorang muslim, Amru Ibnu Umayyah baru sahaja mengadapnya.
Setelah sujud kepada Raja Najasyi seperti yang biasa dilakukan, Amru disapa olehnya: "Selamat datang. Adakah kamu membawa sebarang hadiah daripada negerimu?"Amru menjawab: "Ya, wahai tuanku. Saya membawa banyak makanan." Amru membawa makanan tersebut ke hadapan raja dan baginda merasai makanan tersebut dan mengkaguminya. Amru berkata: "Tuanku, saya terlihat seorang lelaki baru sahaja keluar dan dia merupakan utusan kepada orang yang menjadi musuh kami. Serahkannya kepada kami untuk kami bunuh kerana dia telah berlaku jahat kepada para pembesar kami."
Kata-kata Amru telah menyebabkan air muka Raja Najasyi berubah merah. Amru meneruskan kata-katanya: "Wahai tuanku, sekiranya saya menjangkakan soalan ini akan menyebabkan tuanku marah, sudah tentu saya tidak bertanya." Raja Najasyi menegaskan: "Adakah kamu meminta menyerahkan lelaki yang menjadi utusan kepada seorang nabi yang didatangi malaikat yang sama yang datang kepada Nabi Musa? Kemudian hendak membunuhnya?"
Amru berkata: "Tuanku, adakah beliau begitu?"Najasyi berkata: "Rugilah kamu. Hendaklah kamu mematuhiku, ikutlah ajarannya. Demi Allah, sesungguhnya dia adalah benar. Sesiapa yang menentangnya akan ditimpa balasan sebagaimana Firaun dan tenteranya menentang ajaran Musa Bin Imran."
Amru bertanya: "Adakah tuanku mahu saya berjanji supaya memeluk Islam?" Najsyi menjawab: "Ya." Amru menghulurkan tangannya kepada Raja Najasyi dan berjanji untuk memeluk Islam. Kemudian beliau pulang dan menyembunyikan keislamannya daripada pengetahuan rakan-rakannya. Beliau menuju ke Madinah untuk berjumpa Rasulullah s.a.w dan di pertengahan jalan, beliau berjumpa dengan Khalid Ibnu al-Walid yang juga dalam perjalanan untuk memeluk Islam. Akhirnya beliau melafazkan dua kalimah syahadat untuk menyatakan keislamannya. Peristiwa pengislamannya itu berlaku pada tahun ke-8 Hijrah iaitu tidak lama sebelum pembukaan Kota Mekah. Ke Mesir Kali Pertama
Amru Ibnu al-As telah datang ke Mesir pada kali pertama pada zaman Jahiliah disebabkan urusan perdagangan. Pada suatu ketika, beliau telah pergi ke Baitul Maqdis bersama satu delegasi perdagangan Quraish. Delegasi tersebut telah bertemu dengan seorang pendeta Rom yang datang ke situ untuk beribadah. Beliau yang sedang menjaga sekumpulan unta rakan-rakannya telah didatangi oleh pendeta tersebut yang berada dalam keadaan amat dahaga kerana hari itu panas terik. Pendeta itu memohon sedikit air untuk diminum dan beliau memberikannya air yang berada dalam simpanannya lalu pendeta itu minum bagi menghilangkan hausnya sehingga tertidur kepenatan.
Terdapat sebuah lubang tidak jauh dari tempat tidur pendeta tersebut. Tiba-tiba seekor ular yang agak besar keluar daripadanya dan menuju ke arahnya tetapi Amru yang melihat ular tersebut segera mengeluarkan anak panak dan membunuhnya. Apabila sedar, pendeta tersebut terlihat bangkai ular dan akhirnya bertanya kepada Amru lalu beliau menceritakan segala-galanya. Pendeta terus mencium kepala Amru dan melafazkan: "Allah telah menyelamatkan diriku melaluimu sebanyak dua kali. Pertama ketika aku sangat haus dan kedua, ketika aku nyaris-nyaris dipatuk ular." Pendeta tersebut ingin membayar diyat kepada Amru sebagai membalas jasa menyelamatkan nyawanya dan bertanyakan nilai yang diterima oleh bangsa Quraish dalam pembayaran. Beliau bertanyakan Amru nilai diat bagi seorang dan Amru menyatakan nilainya sebanyak seratus ekor unta. Pendeta itu menyatakan bahawa kaumnya membayar diat dalam jumlah dinar dan bertanyakan anggaran nilainya. Amru menyatakan anggarannya sebanyak seribu dinar.
Oleh sebab tidak mempunyai wang ketika itu, pendeta itu mempelawa Amru untuk mengikutinya ke rumah di bandar Iskandariah, Mesir dan berjanji untuk membayar sebanyak dua kali ganda kerana menyelamatkannya dua kali. Amru bertanyakannya tentang perjalanan tersebut dan pendeta itu menerangkan bahawa ia memakan masa sebulan, masing-masing 10 hari perjalanan pergi, menetap di sana dan pulang. Setelah meminta pendapat rakan-rakannya, Amru pergi bersama pendeta tersebut ke Mesir ditemani salah seorang rakannya sebagai langkah keselamatan.
Apabila tiba di Iskandariah, Amru kagum melihat keindahan kawasan dan bangunan-bangunannya serta masyarakatnya yang ramai dan kaya-raya. Kedatangannya ke situ berbetulan dengan satu sambutan perayaan yang diadakan oleh kalangan bangsawan Iskandariah. Dalam satu majlis, para pembesar dan bangsawan akan melemparkan sebiji bola emas yang dihias cantik di kalangan mereka. Menjadi kelaziman sebelum ini, sekiranya bola tersebut mengenai tepat salah seorang di kalangan mereka dan tidak jatuh, biasanya dia akan dilantik menjadi sebagai raja. Amru turut dibawa oleh pendeta tersebut ke majlis itu dan apabila salah seorang daripada membaling bola tersebut, ia terkena Amru dan melekat pada bajunya. Mereka terkejut dan menyatakan bahawa sebelum ini bola tersebut tidak pernah membohongi mereka kecuali pada kali ini. Mereka juga menyatakan adalah satu perkara mustahil sekiranya bangsa Arab akan memerintah mereka. Setelah mendapat habuan yang dijanjikan pendeta itu, Amru kembali ke kampung halamannya.
Pembukaan Mesir
Pembukaan dan pembebasan negara Mesir telahpun dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith baginda. Dalam hadith tersebut Rasulullah s.a.w turut mewasiatkan agar berlaku baik terhadap masyarakat Qibti (Koptik) yang merupakan penduduknya. Mesir pada masa itu dijajah oleh tentera Rom selama lebih kurang 700 tahun.
Amru sebelum ini pernah dilantik menjadi pemerintah Oman pada zaman Rasulullah s.a.w. Manakala pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a, Amru pernah mengikuti peperangan melawan kerajaan Rom di Syam dan pernah dilantik menjadi pemerintah Palestin dan Jordan. Oleh itu, beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang amat luas dalam pentadbiran.
Cadangan pembukaan Mesir adalah idea daripada Amru Ibnu al-As yang mencadangkannya kepada Saidina Umar r.a. Pada mulanya, cadangan ini tidak dipersetujui oleh Khalifah tetapi atas desakan Amru akhirnya Khalifah bersetuju dan menyediakan lebih kurang 4 ribu orang tentera.
Sebelum bertolak, Khalifah Umar r.a memberitahu Amru bahawa beliau akan mengirimkan sepucuk surat kepadanya. Beliau memaklumkan sekiranya surat itu sampai sebelum Amru masuk ke tanah Mesir hendaklah beliau berpatah balik segera, tetapi sekiranya sudah memasuki Mesir beliau hendaklah meneruskan perjalanan dan bertawakal kepada Allah Taala dan memohon bantuan-Nya.
Tempat pertama yang dimasuki Amru adalah Arisy, satu kawasan yang berada di tepi laut dan berjaya menguasainya tanpa berlaku pertumpahan darah. Apabila mengetahui kedatangan Amru berserta bala tenteranya, Muqauqis pemerintah Rom di Mesir berundur ke Fustat dan mengarahkan tenteranya berhadapan dengan pasukan Amru. Pertempuran yang pertama berlaku di satu tempat bernama al-Farama dan kedua-dua pihak bertempur dengan hebat sehingga memakan masa hampir sebulan sehingga kawasan tersebut jatuh ke tangan orang Islam. Diriwayatkan bahawa golongan Qibti yang berada di situ telah memberikan pertolongan kepada Amru. Pasukan Islam mara ke satu kawasan yang dikenali sebagai Bilbis dan bertempur dengan tentera Rom juga bertahan hampir sebulan sehingga mereka berjaya menawannya. Seterusnya mereka mara ke Ummu Dunain dan pertempuran sengit turut berlaku sehingga Amru mengutuskan surat kepada Khalifah Umar r.a memohon bantuan tentera. Khalifah menghantar sebanyak 4 ribu tentera dan menjadikan tentera Islam berjumlah 8 ribu orang. Tarikh berlakunya penghantaran bantuan tentera ini adalah pada Jamadil Akhir tahun 19 Hijrah bersamaan 6 Jun 640 Masihi. Pasukan bantuan ini turut disertai oleh 4 orang sahabat nabi yang hebat iaitu Zubair al-Awwam, Ubadah Bin Samit, Al-Miqdad Bin Aswad dan Maslamah Ibnu Makhallad. Ada riwayat yang menyatakan Kharijah Ibnu Huzafah menggantikan tempat Maslamah.
Amru bersama tenteranya meneruskan perjalanan sehingga sampai ke satu kawasan yang dikelilingi kubu. Mereka mengepung kawasan tersebut sehingga orang-orang di situ membuka pintu kubu. Sekelompok bangsa Qibti memohon kebenaran daripada Amru untuk kembali ke kampung halaman mereka. Amru bertanya pendapat mereka mereka tentang orang-orang Islam dan mereka menyatakan rasa puas hati terhadap layanan kaum Islam. Salah seorang daripada mereka menyatakan: "Sesungguhnya kamu akan sentiasa mencapai kemenangan atas orang-orang yang kamu perangi hinggalah ada antara kamu membunuh orang yang terbaik di kalangan kamu." Amru berasa marah dengan kata-kata ini hingga kaumnya memohon maaf dan menyatakan bahawa lelaki tersebut tidak tahu apa yang disebutnya. Akhirnya ketika sampai berita pembunuhan Khalifah Umar, Amru memerintahkan agar lelaki tersebut dipanggil dan diberitahu bahawa dia sudah meninggal dunia. Pada saat itu, tahulah Amru kebenaran kata-kata lelaki tersebut.
Pertempuran terakhir Amru adalah melawan Muqauqis dan tenteranya yang berkubu dan bertahan dalam kota. Keadaan menjadi sukar bagi kaum muslimin, sehingga salah seorang sahabat, Zubair Ibnu al-Awwam menawarkan diirnya untuk memanjat kubu melalui sebuah tangga. Beliau menyandarkan tangga di sebelah kawasan pasar al-Hammam dan meminta kaum Islam supaya membalas takbir sekiranya mereka mendengar takbir yang diucapkannya. Akhirnya Zubair berjaya naik ke atas kota dan bertakbir. Apabila mendengar takbir Zubair, pasukan tentera Islam turut bertakbir sehingga akhirnya beliau berjaya membuka pintu kota untuk dimasuki. Apabila mengetahui kemasukan tentera Islam, Muqauqis dan tentera berasa gementar dan meminta perdamaian daripada Amru dengan mencadangkan agar meminta bayaran setiap seorang masyarakat Qibti dua dinar sebagai cukai dan Amru bersetuju.
Muqaiqis sendiri telah lari ke sebuah pulau di Iskandariah bersama kumpulan tenteranya dan bertahan dalam kota Babilion yang dikelilingi kubu. Beliau telah menghantar utusan kepada Amru untuk memberitahunya bahawa Rom akan mengalahkan mereka. Amru telah menahan tahanannya selama beberapa hari untuk menguji Muqauqis sehingga beliau menyangka utusannya telah dibunuh. Kemudian Amru mengembalikan utusannya bersama-sama dengan tawarannya. Beliau memberikan tiga pilihan kepada Muqauqis sama ada memeluk Islam dan beliau akan dilayan seperti masyarakat Islam yang lain atau sekiranya enggan, beliau hendaklah membayar jizyah kepada kerajaan Islam. Manakala pilihan terakhir adalah berhadapan dengan tentera Islam sekiranya mereka enggan memilih salah satu daripada pilihan terdahulu. Kemudian Muqaiqis menghantar utusan memohon dihantar utusan dari kalangan Muslimin untuk berdamai. Amru menghantar seramai sepuluh orang diketuai oleh Ubadah Bin Samit.
Ubadah Bin Samit yang mempunyai kulit gelap dipandang hina oleh Muqauqis dan menyuruh utusan Muslimin memilih ketua yang lain. Dengan tegas mereka tetap memilih Ubadah sebagai ketua mereka. Mereka menyatakan walaupun Ubadah seorang yang berkulit gelap tetapi dia merupakan orang yang paling mulia di kalangan mereka dan tidak sekali-kali akan berganjak daripada arahan Amru. Ubadah menyatakan dengan panjang lebar tentang cita-cita mereka untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim membebaskan bumi ini daripada penjajahan manusia dan tunduk kepada Allah Taala. Mereka tidak menjadikan dunia ini sebagai matlamat akhir dan dunia ini hanyalah sebagai kehidupan sementara menuju akhirat. Mereka tetap akan berjihad menegakkan kalimah Allah menentang musuh-musuh-Nya tanpa rasa sebarang takut biarpun jasad mereka terkorban.
Apabila selesai ucapannya, Muqauqis menyatakan kepada para pembesarnya tentang perasaan gementarnya apabila melihat Ubadah pertama kali, tetapi yang lebih menakutkan adalah kata-katanya. Muqauqis menyatakan dengan bangga bahawa bantuan Rom sedang datang dan kaum Muslimin tidak akan mampu bertahan selama-lamanya kerana kelemahan dan kekurangan yang ada pada mereka. Ubadah tetap memberikan Muqauqis salah satu daripada tiga pilihan yang diberikan Amru sebelum ini. Muqauqis terus bertahan dan turut menerima sepucuk surat daripada Raja Rom, Hercules untuk mempertahankan kedudukannya di Iskandariah. Akhirnya setelah beberapa bulan menghadapi pelbagai ujian, tentera Muslimin yang dipimpin oleh Amru berjaya menewaskan tentera Rom yang dipimpin oleh Muqauqis dan mereka dibiarkan keluar tanpa membawa sebarang senjata daripada kubu tersebut pada hari Jumaat, 6 April 641 Masihi bersamaan pada Rabiul Akhir tahun 20 Hijrah. Di samping itu, kemenangan itu turut disebabkan oleh bantuan dan sokongan rakyat Mesir yang terdiri daripada kebanyakan bangsa Qibti yang telah lama dijajah oleh bangsa Rom.
Kaum Rom merupakan satu kaum yang melanggar perjanjian. Apabila mereka mendapati tentera Islam yang mengawal Iskandariah berkurangan, mereka meminta bantuan dari Rom seramai 300 buah kapal kecil yang dipimpin oleh Manuel untuk menyerang kaum Muslimin di darat dan laut. Akibatnya ramai yang terkorban dan mereka yang terselamat lari menyelamat diri. Apabila sampai di Nafyus, mereka bertemu dengan kekuatan tentera Islam yang berjumlah 15 ribu orang. Pertempuran yang hebat berlaku sehingga memaksa tentera Rom berundur kembali ke Iskandariah dan bertahan di situ. Tentera Islam menggempur dan menggunakan alat manjanik untuk menyerang tentera Rom. Serangan demi serangan menyebabkan kekalahan yang teruk kepada pihak Rom dan selepas itu mereka tidak lagi datang ke Iskandariah. Daripada peperangan terakhir yang menyebabkan kekalahan ini, tentera Rom mendapat pengajaran bahawa tentera Islam tidak akan dapat dikalahkan lagi.
Harta
Semasa Amru memerintah Mesir, beliau merupakan pemerintah yang agak berada dan memiliki harta yang banyak. Apabila Khalifah Umar mengetahui tentang keadaan tersebut, beliau menghantar utusannya, Muhammad Ibnu Maslamah untuk berjumpa Amru dan meminta membahagikan separuh harta untuk digunakan oleh Baitul Mal di Madinah dan separuh lagi ditinggalkan untuk kegunaannya. Dalam satu riwayat, apabila Saidina Umar mengetahui lambatnya turun kemenangan terhadap Islam ketika pembukaan Mesir, beliau menghantar surat menegur Amru dan kepimpinannya supaya tidak bermegah-megah dengan harta dan lalai kepada kehidupan dunia.
Kewafatannya
Pada tahun 43 Hijrah, Amru Ibnu al-As kembali ke rahmatullah setelah meninggalkan pelbagai jasa terhadap pengembangan Islam. Beliau meninggal dunia di Mesir dan antara kalimah terakhir yang diucapkannya: "Pada mulanya aku seorang kafir, bertegas terhadap Rasulullah s.a.w, sekiranya aku mati ketika itu nescaya aku berhak masuk ke neraka. Kemudian aku berbaiah kepada baginda dan beliau adalah orang yang paling aku cintai. Jika aku ditanya untuk menerangkan sifat-sifatnya pasti tidak mampu kulakukan kerana aku tidak mampu untuk menetang matanya disebabkan kemuliaannya. Sekiranya aku mati pada waktu itu, aku harap untuk menjadi ahli syurga. Selepas itu aku diuji dengan jawatan, aku tidak tahu sama ada ia baik bagiku atau sebaliknya..." Ruhnya kembali ke sisi Rabbul Jalil selepas mengucapkan kalimah tauhid.
Kesan Peninggalannya
Antara kesan peninggalan Amru yang masih berada di Mesir sehingga hari ini ialah Masjid Amru Ibnu al-As yang terletak di kota Kaherah. Masjid yang agak luas ini menjadi tempat tumpuan ramai masyarakat tempatan yang datang dari segenap kawasan untuk solat Tarawih khususnya pada malam 27 Ramadan saban tahun yang diimami oleh Syeikh Muhammad Jibril, seorang qari yang terkenal.

USTAZ MOHD ZAINUDIN B ZAKARIA


solat sunat dhuha

Bilangan rakaat : 2 hingga 12 rakaat (2 rakaat 1 salam)
Waktu : Pagi anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi
Niatnya:
"Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha 2 rakaat kerana Allah Ta'ala"
Baca doa ini selesai solatMaksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.