Selasa, 28 Julai 2009

TAHNIAH! ILMAM PAHANG

Program anjuran Ilmam dedah nilai murni BANDAR TUN RAZAK JENGKA – Seramai 38 pelajar sekolah menengah sekitar Temerloh, Chenor dan bandar ini menyertai Perkhemahan Pelajar Islam selama tiga hari di Pusat Latihan Pertahanan Awam (PULAPA), berakhir semalam.Timbalan Pengarah program, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, program anjuran Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) Pahang itu memuatkan beberapa pengisian menarik dengan gabungan ilmu penghayatan Islam termasuk aqidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Menurutnya, peserta juga didedahkan kepada nilai murni seperti tercatat dalam Falsafah Pendidikan Islam iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. “Setiap modul yang disediakan kepada pelajar amat bermanfaat dan mempunyai objektif tersendiri. Peserta juga dilatih kepada asas kepimpinan dalam diri. “Peserta diberi peluang bercakap di hadapan rakan lain dalam setiap program dengan menyatakan pendapat dan pandangan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis penutupan program, semalam. Mohd Zarimi berkata, slot ‘Debat Ala Parlimen’ yang diadakan pada hari kedua perkhemahan mencungkil bakat peserta dengan melontarkan hujah bernas menggunakan minda secara kreatif dan kritis. Menurutnya, urusetia dan fasilitator yang terdiri daripada ahli Ilmam Pahang akan meneruskan penganjuran sedemikian dalam melahirkan generasi muda berdisiplin berpandukan ajaran Islam. “Diharapkan semua peserta memanfaatkan ilmu kemahiran dan nilai yang diperoleh dalam perkhemahan itu dimanfaatkan sebaiknya dalam menjalani kehidupan seharian sebagai pelajar Muslim. “Contoh yang baik kepada rakan sekelas dapat mewujudkan suasana harmoni dan mengukuhkan ikatan persahabatan sedia ada,” katanya. Sumber: Sinar Harian Pahang