Sabtu, 8 Oktober 2011

Khutbah Pilihan Bulan Ini OKTOBER

-SEKADAR HIASAN-


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“SIHAT TANPA MAKSIAT ”

(7 OKTOBER / 9 ZULKAEDAH 1432H)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ini ialah: SIHAT TANPA MAKSIAT”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Sejak sekian lama umat Islam telah diperingatkan oleh Allah SWT menerusi ayat-Nya bahawa kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. Saiyidina Ali RA pernah berkata “ Hai dunia, tipulah orang lain selain aku. Aku telah menceraikanmu dengan talak tiga. Umurmu pendek, perhiasanmu sulit dan bahayamu sangat besar. Betapa sedikit bekalku, betapa panjang perjalananku dan betapa sunyi jalanku. Justeru, di dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT, manusia ini juga dapat digolongkan kepada dua golongan. Golongan pertama mereka yang taat dan patuh menjalankan perintah Allah SWT, golongan kedua mereka yang ingkar dangan ketentuan dan ketetapan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 24:

Maksudnya : “ Bandingan dua golongan itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; Adakah kedua-dua golongan itu sama keadaannya, maka tidakkah kamu mengambil peringatan.

Orang-orang yang beriman, mereka menyerahkan kehidupannya hanya kepada Allah SWT dan bukan kepada selain daripada Allah. Mereka lebih mementingkan keredhaan Allah daripada bermewah-mewah dengan kehidupan dunia, menjaga solat melakukannya dengan khusyuk, menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan tidak berguna, menafkahkan harta mereka ke jalan Allah, menjaga kemaluan atau kehormatan daripada berbuat kemungkaran, tidak melampaui batas dalam bertindak dan mereka juga sentiasa menjaga amanah. Begitu juga sebaliknya bagi yang ingkar dan maksiat, mereka berpegang teguh dengan tali syaitan yang menguasai dalam kehidupan mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19:

Maksudnya: Syaitan telah menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu orang yang rugi.

Musuh Allah SWT iaitu syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ke lembah maksiat iaitu dengan lisan ataupun perbuatan. Cara lisan lebih penting daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka. Sayidina Mu’adz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda, “Hendaklah kamu menjaga ini ”. Selanjutnya Baginda bersabda, “Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita perkatakan.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Allah SWT telah menyingkap rancangan-rancangan musuh-Nya sebagai jalan atau pintu masuk yang akan merosakkan manusia antara lain adalah: Ajakan kepada kejahatan, menanam rasa takut miskin, menyemai nilai-nilai dusta, menanamkan permusuhan antara individu, keluarga, masyarakat hinggalah ke sesuatu bangsa, mencegah daripada mengingati Allah SWT samada dengan kesenangan atau kesulitan, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT, menanam rasa putus asa, takjub, ego, takabur dengan diri sendiri, memperbanyakkan harta untuk sekadar disimpan bukan untuk kepentingan umum. Hasil daripada Allah SWT menyingkap pintu-pintu musuh Allah ini, maka lahirlah manusia yang terpaut dengan ajakan serta bisikan yang mendatangkan kerosakan pada kehidupan manusia itu sendiri. Dengan pujuk rayu dan godaannya, maka akhirnya ramailah manusia yang bergabung menjadi pengikut kemaksiatan ini. Dengan demikian, mereka yang dibawah takluk dan lemas dalam godaan maksiat akan jatuh ke dalam lumpur dan lembah kesesatan.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Manusia yang hidup di dalam kemaksiatan adalah mereka yang mengikut hawa nafsunya dan menjadi pengikut jalan para perosak. Mereka ini tidak mendapat petunjuk dari Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat-sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, malah mendorong ke arah kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah SWT.

Sayidina Ali RA berkata: “ yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.

Pelaku maksiat sudah tentu mereka yang dikalahkan oleh hawa nafsunya, kebatilan menguasai hati, mereka melupakan Allah SWT semasa melakukan maksiat dan dikuasai oleh para syaitan. maka ingatlah bahawa musuh Allah ini sentiasa mengintai-intai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa maksiat tidak akan dilakukan semasa hati seseorang itu beriman kepada Allah SWT.

Rasulullah bersabda dengan maksudnya: Tidaklah beriman seseorang penzina itu ketika berzina, tidak beriman seorang pencuri itu ketika mencuri, tidak beriman seorang penenguk arak itu ketika ia menenguknya dan tidak beriman orang yang merampas harta yang tinggi nilainya itu ketika merampasnya. (Riwayat al-Bukhari)

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Bagi menutup segala pintu maksiat, maka hendaklah kita sedar dan insaf bahawa sebagai hamba pintu taubat sentiasa terbuka.

Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik orang yang sering berbuat kesalahan adalah yang sering bertaubat kepada-Nya (Riwayat al-Tirmizi).

Bagi mereka yang ingin bertaubat dan ingin hidup sihat tanpa maksiat maka hendaklah ikhlas dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT di dalam taubatnya, bermujahadah dengan bersunguh-sungguh untuk mengelak diri dari diperhambakan oleh hawa nafsu. Mengawal nafsu dari melakukan maksiat bukanlah bermaksud melawan sekali dua tetapi ianya perlu berterusan kerana Allah SWT. Apabila seseorang bermujahadah melawan nafsunya, kebaikan dan keberkatan akan datang kepadanya.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,

Mimbar mengingatkan bahawa dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang menghadapi penyakit hidup bermaksiat . Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kejadian-kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes-kes jenayah, pembunuhan, penindasan sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi hawa nafsu. Ingatlah bahawa mereka yang menjadikan nafsu sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana sentiasa diburu rasa bersalah, bukan sahaja kepada Allah tetapi juga kepada diri sendiri. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih. Mimbar menyeru sidang jumaat dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengamalkan hidup sihat tanpa maksiat.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung diri kita, dimanakah sebenarnya kedudukan kita, adakah dilandasan kebenaran atau masih lagi berada dijalan yang berliku yang penuh dengan duri-duri maksiat. Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menutup segala pintu maksiat dan mengingati akhirat agar kita sedar tentang hakikat kehidupan serta menilik wajah kita agar ianya berseri-seri dengan amalan mulia di sepanjang kehidupan ini. Akhir sekali marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21:

Maksudnya: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar .

SUMBER http://www.islam.gov.my/khutbah-online

*SAYA TELAH MEMBACA KHUTBAH INI PADA 7/10/2011 DI MASJID TENGKU AMPUAN AFZAN,KUANTAN