Isnin, 11 Jun 2007

Tanah suci mekah

Mekah : 5 kali sehari di seluruh dunia, umat Islam akan menghadap kota ini untuk bersolat, menghadap ke tapak di mana mereka percaya Nabi Ibrahim membina rumah suci Allah. Tapak ini juga menjadi tempat di mana umat Islam diwajibkan mengunjunginya sekurang - kurangnya sekali dalam hidupnya.
Kini apabila berada di sana dengan berpakaian ihram yang ringkas dan diperbuat daripada kain kapas yang membalut tubuh, mereka akan melihat sesuatu yang lain daripada Kaabah. Mereka juga akan turut melihat Starbucks, Cartier & Tiffany, H&M dan Topshop.
Pusat membeli belah Abraj Al - Bait, merupakan salah satu pusat membeli belah yang terbesar di Arab Saudi, dilengkapi dengan panel monitor yang rata, lampu - lampu neon, pusat hiburan, restoran makanan segera dan kedai pakaian dalam wanita sedang dibina bertentangan dengan tanah paling suci dalam Islam.
Adakah ini pembangunan dan kemajuan dalam Islam? Tidak semua orang mengganggap bahawa ini satu kemajuan.
“Mekah kini sedang menjadi seperti Las Vegas, dan ini satu bencana,” kata Ali al - Ahmed, Pengarah Institut Hal Ehwal Teluk di Washington, sebuah pertubuhan penyelidikan pembangkang Saudi. “Ia akan menjadi satu bencana kepada umat Islam kerana apabila ke Mekah, mereka tidak akan mempunyai perasaan lagi. Tiada lagi daya tarikan. Semua yang dilihat hanyalah kaca dan simen.”

Pusat membeli belah ini yang dijangka akan dibuka kepada umum seminggu sebelum musim haji Disember ini adalah yang pertama dalam rancangan pembinaan yang menelan belanja $ 13 bilion di Mekah yang berjanji akan mengubah bagaimana kota ini, yang dilarang kepada semua orang kecuali umat Islam, melihat dan merasanya.
Komplek hotel dan perumahan Abraj, pembangunan besar pencakar langit yang mencuar tinggi di Mekah, telah mula membentuk semula wajah kota lama agama itu. Apabila projek itu disiapkan pada 2009, ia termasuklah bangunan ke - 7 tertinggi di dunia, menurut pemaju termasuk juga hospital, hotel dan dewan solat. Sistem siar raya terbenam di dalam dewan solat Masjidil Haram di seberang jalan dan para jemaah boleh menyertai solat dengan hanya membuka langsir.
Laluan
Berdekatan Jabal Omar, seluruh bukit itu telah diratakan untuk memberi laluan bagi pembinaan komplek dan hotel pencakar langit. Di mana - mana terdapat kren pembinaan dengan 130 menara baru yang dirancang di kawasan itu.
“Ini merupakan (tanda) berakhirnya (kegemilangan) Mekah,” kata Irfan Ahmed di London yang membentuk Yayasan Warisan Islam (IHF) khusus untuk cuba memelihara sejarah Islam Mekah, Madinah, kota suci kedua, dan tapak agama penting lain di Arab Saudi.
“Sebelum ini, malah di zaman Uthamaniyah, tidak ada banggunan di Mekah di mana menaranya lebih tinggi daripada Masjidil Haram. Kini semakin tinggi dan lebih tidak dihormati.”
Wang merupakan salah satu pengerak dalam ledakan pembangunan ini. Setiap tahun, hampir 4 juta manusia mengunjungi kota ini sewaktu musim haji, di samping pelbagai aktiviti yang berterusan sepanjang tahun, membelanjakan purata antara $2,000 hingga $3,000 untuk perumahan, makan, dan membeli belah.
Papan iklan sepanjang jalan ke Mekah mengingatkan pelabur potensi perolehan daripada pemilikan pangsapuri di sini ; sesetengahnyamendakwa 25% pulangan pelaburan. Iklan saluran TV satelit Arab mengingatkan penonton bahawa “anda juga berpeluang untuk menikmati pandangan rahmat ini.”
Mohammed al - Boud, ejen hartanah yang telah menjual beratus unit bagi pihak Kumpulan Saudi bin Laden, yang menguruskan tapak suci Mekah dan beberapa hartanah lain di sini, menceritakan bagaimana seorang ahli perniagaan Pakistan yang mengeluarkan belanja $15 juta untuk membeli beberapa pangsapuri dalam satu masa. Putera Saudi pula memiliki seluruh tingkat.
Pangsapuri tiga bilik sahaja di sini berharga kira - kira $ 3 juta, kata Abboud. Bagi yang menghadap Masjidil Haram pula boleh mencapai $5 juta.
Kritik terhadap pembangunan itu mengadu bahawa komuniti berpagar di mana jemaah boleh memisahkan diri mereka sendiri daripada orang ramai, ini melanggar semangat haji, di mana mereka semuanya sama sahaja di sisi Allah.
“Seluruh Mekah adalah tempat suci,” kata Abboud. “Jadi bagaimana perkara seperti ini tidak direbut?”
Tetapi sesetengah kumpulan Islam berkata pembinaan banguna itu juga mempunyai motif agama. Mereka menuduh kerajaan Saudi membenarkan golongan konservatif untuk memusnahkan tapak bersejarah, kerana bimbang ia akan dijadikan tempat pemujaan.
Ahmed, dari Yayasan Warisan Islam telah menyenaraikan lebih daripada 300 tapak antikuiti termasuk kubur dan masjid. Beliau berkata, rumah di mana Nabi Muhammad dilahirkan juga telah dirobohkan untuk memberi laluan bagi pembinaan bilik air.
“Ia tidak menghormati Kaabah, tidak menghormati rumah Allah atau persekitaran tanah suci,” kata Sami Angawi, arkitek Saudi yang mahu memulihara warisan Mekah, daripada pembangunan. “Anda tidak sepatutnya menebang walaupun sebatang pokok di kota ini.”
Kemajuan telah membebankan Mekah. Pasar malam di kota itu di mana jemaah boleh menjual barangan mereka juga telah lenyap. Rumah penduduk Mekah dan bangunan yang mengelilingi kawasan berdekatan masjid di robohkan pada 1970 - an untuk membesarkan masjid. Keluarga dan jiran mereka yang tinggal berdekatan serta jemaah telah lama berpindah.
Angawi mengetuai kempen bersendirian di Arab Saudi untuk menarik perhatian terhadap pemusnahan kawasan bersejarah. Ahmed telah berusaha untuk melobi kerajaan Asia dan Arab supaya menekan Arab Saudi supaya menghentikan pemusnahan itu. Ahmed dari Institut bagi Hal Ehwal Teluk di Washington telah membina pangkalan data tapak bersejarah yang kini musnah. Ramai orang Islam di dalam dan di luar Arab Saudi terus berdiam diri mengenai isu itu, mereka berkata takut kehilangan pembiayaan dari Arab Saudi untuk projek dan institut agama.
Pegawai Saudi berkata mereka dengan teliti memulihara artifak Islam yang ditemui oleh mereka, dan mengendalikan 2 muzium kecil di Mekah. Mereka berkata, lebih daripada $19 bilion telah dibelanjakan untuk memulihara warisan Islam negara. Mereka menolak kritikan itu sebagai aneh yang tidak mengikuti perkembangan.
Sementara itu, pemaju dan ejen hartanah berkata pembinaan itu akan memberikan lebih banyak ruang bagi lebih ramai umat Islam untuk mengambil bahagian dalam mengerjakan haji dalam keadaan yang lebih baik.
Ia menunjukan bahawa perubahan yang berlaku jauh daripada berakhir. “Mekah tidak pernah berubah seperti mana yang berlaku sekarang,” kata Angawi, arkitek Saudi. “Apa yang anda lihat sekarang hanyalah 10 peratus daripada apa yang akan datang (bakal terjadi). Apa yang akan datang (adalah) lebih buruk (lagi).”
Dipetik dari : Utusan Pengguna Pulau Pinang keluaran Mei - Jun 2007