Jumaat, 10 Ogos 2007

>> ISLAM IMAN DAN EHSAN >>


Sebenarnya perkara yang berkenaan dengan Islam, Iman dan Ehsan bukanlah suatu perkara rekaan yang dicipta atau difikirkan oleh Nabi saw, tetapi ianya adalah datang dari langit yang dibawa oleh "Rasulul Amin" Jibril as. Ketika mana Nabi saw sedang duduk bersama dengan para sahabat, tiba-tiba muncul seorang yang bukan sahaja tidak dikenali, bahkan rupa pakaian dan penampilan lelaki tersebut amat memelikkan.Cerita ini ada dimuatkan di dalam hadis 40 yang sisusun oleh Imam Nawawi seperti berikut,

Daripada Umar ra berkata ketikamana kami sedang duduk bersama Rasulullah saw pada suatu hari, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai baju yang berwarna sangat putih dan rambutnya yang sangat hitam yang mana lelaki ini tidak nampak langsung tanda-tanda musafir dari raut wajahnya dan tiada seorang pun diantara kami yang mengenali beliau. Lalu lelaki tersebut duduk bersebelahan dengan Nabi saw dan merapatkan lututnya dengan lutut baginda saw . Beliau telah meletakkan tapak tangannya di atas peha Nabi saw seraya berkata, wahai Muhammad, tolong beritahu aku berkenaan dengan Islam. Lalu Nabi saw menjawab bahawa Islam itu ialah menyaksikan bahawa tiada yang disembah melainkan Allah swt dan Muhammad saw adalah pesuruhnya.Kemudian mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dibulan ramadhan dan menunaikan haji sekiranya ada kemampuan. Lelaki itu pun berkata, kamu memang benar. Kami (para sahabat) merasa pelik kerana beliau yang bertanya dan beliau juga yang membenarkannya.

Lalu lelaki itu bertanya lagi, tolong beritahu aku berkenaan dengan iman pula. Lalu Nabi saw menjawab, iman adalah percaya kepada Allah swt, para malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada takdir baik dan buruk. Lalu lelaki itu kemudian berkata, kamu memang benar. Lelaki itu meneruskan lagi pertanyaannya dan berkata tolong beritahu aku berkenaan dengan ehsan pula. Nabi saw menjawab, ehsan ialah kamu beribadat memperhambakan diri kepada Allah swt seolah-olah kamu melihatNya dan sekiranya kamu tidak mampu melihatNya ( kerana memang kamu tidak mampu untuk melihatnya), sesungguhnya Dia sentiasa melihat dan memerhatikan kamu.

Selepas tamat sesi soal jawab ini, lelaki tersebut pun beredar. Selang beberapa hari selepas itu, perawi hadis ini iaitu Umar ra datang berjumpa dengan Nabi saw. Lalu Nabi saw menyapa beliau dengan berkata, wahai Umar, adakah kamu tahu siapakah yang bertanya pada hari itu? Umar ra menjawab, Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Nabi saw menerangkan kepada Umar bahwasanya yang datang pada hari itu ialah Jibril as bertujuan untuk mengajarkan kamu berkenaan dengan agamamu.

Ramai di antara kita yang mampu menghafal hadis ini dengan baik terutamanya bekenaan dengan rukun Islam dan rukun Iman yang terkandung di dalam hadis ini. Tetapi tidak ramai diantara kita yang mampu menghayati erti sebenar akan apa yang terkandung di dalam Ehsan.