Isnin, 21 Julai 2008

.: adakah rajab bulan Allah? :.

Benarkah bulan Rajab adalah bulan Allah sebagaimana didendangkan di dalam ceramah dan khutbah Jumaat oleh sesetengah pendakwah bahawa ianya dinukilkan daripada hadis nabawy yang berbunyi, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.”? Apakah hukum meriwayatkan dan menyebarkan hadis yang tidak benar daripada ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam?

Asy Syeikh Dr Yusuf al Qaradhawi menjawab:
Tiada satu pun nas berkenaan bulan Rajab kecuali yang menjelaskan kemuliaannya sebagai salah satu daripada 4 bulan yang haram ( al asyhur ul hurum ) sebagaimana di dalam Al Quran ( at Taubah: 36 ) iaitu Rajab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram. Bulan - bulan haram adalah penuh kelebihan.

Tiada satu pun hadis yang sahih warid daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam yang menyatakan kelebihan bulan Rajab secara khusus kecuali satu hadis yang hasan: Bahawa RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam paling banyak berpuasa di bulan Syaaban. Lalu baginda ditanya mengenainya. Baginda menjawab, ” Ia ( Syaaban )adalah bulan di antara Rajab dan Ramadhan yang dilalaikan oleh manusia ( kelebihannya ).”
Maka, difahami daripada sabda itu bahawa bulan Rajab mengandungi kelebihan yang telah jelas diingati berbanding Syaaban.

Adapun hadis, ” Rajab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan ummatku.”, maka ia adalah satu hadis yang munkar ( tak dikenali )dan dhoif jiddan ( terlalu lemah ), bahkan kebanyakan ulama hadis menyifatkannya sebagai sebuah hadis maudhu’ ( palsu ).
Tiada harganya daripada sudut ilmiah mahupun ugama.
Demikianlah segala hadis yang diriwayatkan berkaitan bulan Rajab bahawa sesiapa yang solat sekian maka untuknya sekian dan siapa beristighfar ( di bulan Rajab ) sekali maka untuknya sekian, maka itu semua adalah melampau - lampau dan pembohongan ke atas ar Rasul.
Antara tanda nyatanya pendustaan dalam hadis - hadis tersebut ialah wujudnya perihal kelebihan atau ancaman azab yang melampaui batas. Para ulama berkata, sesungguhnya janji manis dengan pahala yang besar atas amalan baik yang kecil dan janji buruk dengan azab yang pedih atas amalan dosa yang kecil adalah antara tanda bahawa ianya adalah hadis yang dusta dan palsu.

Ini sebagaimana dendangan periwayatan palsu bahawa baginda bersabda, “Sesuap yang dimasukkan ke dalam perut orang yang lapar adalah lebih baik daripada membina seribu buah masjid.”
Hadis - hadis yang diriwayatkan mengenai kelebihan bulan Rajab adalah daripada kategori ini. Adalah menjadi kewajiban ulama untuk menyedari kepalsuan hadis - hadis sebegini dan mengingatkan manusia daripadanya.
Telah warid ( datang ) daripada baginda, ” Barang siapa yang meriwayatkan satu hadis yang dia tahu kebohongannya, maka dia termasuk daripada kalangan yang berbohong juga.”
Tetapi biasanya seseorang itu tidak tahu bahawa dia sedang meriwayatkan hadis yang palsu. Justeru adalah menjadi kewajibannya untuk tahu dan mengambil hadis - hadis daripada sumbernya yang betul.

Di sana terdapat kitab - kitab hadis yang muktamad ( dipegang ) dan terdapat kitab - kitab yang khusus menyatakan mengenai hadis - hadis yang lemah dan palsu seperti‘al Maqasid al Hasanah’ oleh as Sakhawi, ‘Tamyiz al Thayyib min al Khabith lima yaduru ‘ala alsinati an nas min al hadith’ oleh Ibn ad Diba’, ‘Kasyf al khafa wa al ilbas..’ oleh al ‘Ajluni dan banyak lagi yang sayugia diketahui oleh para khatib dan penceramah ugama.
Mereka mesti menekuninya sehingga tidak lagi meriwayatkan kecuali hadis - hadis yang dipercayai kesahihannya. Hadis - hadis palsu ini sebenarnya adalah antara penyakit yang meracuni thaqafah Islamiah kita umat Islam. Ia tersebar melalui lidah para penceramah, buku - buku dan cakapan awam sedangkan ia adalah dusta dan anasir perosak dalam agama kita.
Adalah sayugia kita menyucikan dan menjernihkan thaqafah Islamiah kita daripda hadis - hadis jenis ini.
Terjemahan dari laman http://www.qaradawi.net/

Komentar:
Telah datang bulan Rajab yang mulia. Menggandakan ibadah di bulan ini adalah digalakkan. Kelebihannya adalah kerana ia termasuk daripada 4 bulan yang haram ( dimuliakan Allah ) sebagaimana disebut di dalam Al Quran. Ia mulia sejak terciptanya langit dan bumi lagi.
Ibadah puasa di bulan ini adalah digalakkan. Ia menjadi muqaddimah kepada sambutan kedatangan Ramadhan al Mubarak. Ia menjadikan kita lebih bersedia untuk menyambut juadah pahala dan rahmat pengampuan tuhan yang lebih besar di bulan tersebut.
Berpuasalah pada hari - hari terpilih seperti Isnin dan khamis dan teruskan sehingga Ramadhan. Tambahkan bacaan Al Quran dan ibadah - ibadah lain. Insya Allah, keselesaan akan lebih terasa di bulan Ramadhan nanti.

Di negara kita, penyebaran hadis - hadis yang palsu dan dusta masih banyak berlaku termasuk hadis - hadis berkaitan kelebihan Rajab. Ia mungkin tanpa disedari disebabkan kejahilan dan kurangnya pendedahan pengajian ilmu hadis di kalangan penceramah ugama. Apapun, ia tetap satu kesalahan besar jika dipandang ringan. Asy Syeikh al Qaradhawi memberi peringatan yang jelas akan bahaya ini dan mencadangkan penyelesaiannya. Justeru setiap kita mesti ambil cakna terutama para ilmuan ugama.
Ayuh, bersegeralah melakukan ketaatan dan kebajikan di bulan mulia ini. Hayatilah juga peristiwa al isra’ wa al mi’raj.
dipetik daripada:

Jumaat, 4 Julai 2008

nota "HARI JUMAAT"

Soalan: Boleh tak saudara terangkan rukun-rukun dan syarat-syarat sah khutbah Jumaat, baik dari segi pendengar dan juga imamnya.
Dan pada khutbah yang ke berapa sepatutnya kita mengangkat tangan berdoa. Pada khutbah pertama atau kedua.
----------------------
Jawapan

Alhamdulillah inilah jawapannya: Antara fardu sembahyang Jumaat ialah mesti ada dua khutbah. Dari Jabir bin Samurah r.a.: "Bahawa Rasulullah s.a.w. berkhutbah dua kali, baginda duduk di antara dua khutbah, dan baginda berkhutbah dengan keadaan berdiri." (HR Muslim)

Berdasarkan mazhab Syafi’I, rukun khutbah ada lima, iaitu:
1 . Memuji Allah Taala. Rukun ini hendaklah dengan lafaz `Alhamdu’.
2 . Membaca selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Ia hendaklah menggunakan lafaz `solah’.
3 . Berwasiat agar bertaqwa kepada Allah.
4 . Mendoakan orang-orang mukmin.
5 . Membaca sedikit al-Quran, sekurang-kurangnya satu ayat.

Manakala syarat-syarat khutbah pula ada enam, iaitu:
1 . Setelah masuk waktu, iaitu selepas tergelincir matahari.
2 . Mesti dilakukan sebelum mengerjakan sembahyang Jumaat.
3 . Berdiri di dalam dua khutbah jika mampu.
4 . Duduk di antara dua khutbah.
5 . Suci dari hadas dan najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat. Juga wajib menutup aurat.
6 . Mengeraskan suara sekira-kira dapat didengar oleh empat puluh orang yang menjadikan Jumaat itu sah.
-------------------
Berikut ini beberapa masalah mengenai syarat khutbah Jumaat ke 6: Mengeraskan suara sekira-kira dapat didengar oleh empat puluh orang yang menjadikan Jumaat itu sah.

Masalah: 40 orang adalah termasuk khatib itu sendiri.
Masalah: Jika semua makmum terdiri dari orang yang tuli atau sebahagiannya sahaja tuli, maka tidak sah khutbah berkenaan. Samalah halnya apabila semua makmum duduk jauh (tidak dapat mendengarnya).
Masalah: Menurut ulamak Hanbali, khutbah hendaklah didengari oleh 40 orang, jika tidak ada halangan untuk didengari.
Masalah: Menurut imam Malik, khutbah itu hendaklah di dengar oleh sekurang-kurangnya 12 orang jamaah.
Masalah: Menurut ulamak mazhab Hanafi, khutbah itu hendaklah didengarkan oleh sekurang-kurangnya seorang makmum yang sah Jumaat.
------------------
Masalah: Ketika khatib sedang berkhutbah Masalah: Menurut mazhab jadid (mazhab baru) imam l-Syafi’I, para makmum disunatkan diam. Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w.: "Jika kamu berkata kepada kawanmu, diam dan dengan, pada hari Jumaat dan khatib sedang membaca khutbah, maka tiada pahala Jumaat baginya." (Nailul Authar, dari Abu Hurairah).

Manakala tiga imam yang lain (Hanafi, Maliki dan Hanbali) dan qaul qadim imam Syafi’I (mazhab lama) mengatakan haram berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah. Dalilnya: "Dan, apabila al-Quran dibacakan, maka dengarlah akannya serta diam (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." (Al-A’raf:204)
Menurut ramai ahli tafsir bahawa ayat di atas diturunkan mengenai khutbah. Khutbah dikatakan sebagai al-Quran kerana khutbah mengandungi al-Quran yang dibaca di dalamnya.
Masalah: Makmum dibenarkan berkata-kata dalam beberapa keadaan, iaitu kerana mahu memberi amaran kepada si buta daripada terjatuh ke dalam telaga, mengerjakan sembahyang tahiyatul masjid, mengucap `yarhamukallah’ kepada orang yang bersin apabia dia memuji Allah, menjawab salam dan membaca selawat apabila mendengar selawat.
---------------------
Mengangkat tangan ketika khatib berkhutbah
Masalah: Dan pada khutbah yang ke berapa sepatutnya kita mengangkat tangan berdoa. Pada khutbah pertama atau kedua?
Jawab: Di dalam masalah ini saya menukilkan fatwa Mufti Johor, al-marhum Datok Syed Alwi bin Tahir al-Haddad:
Soal: Saya terbaca dalam warta Jabatan Agama Johor waktu khatib di atas minbar membaca khutbah tidak disunatkan mengangkat tangan?
Jawab: Tidak sunat kerana dimasa Nabi Muhamad s.a.w. tidak ada yang mengangkat tangan seperti demikian itu dalam kitab Sunan al-Tarmizi ada mengatakan mengangkat tangan itu bid’ah.
(Datok Syed Alwi bin Tahir al-Haddad, Fatwa-fatwa Mufti Kerajaan Johor, vol.1, Hal.67)

-------- Soal: Bagaimanakah caranya doa pada hari Jumaat pada khutbah yang kedua. Wajibkah bagi makmum menadah tangan - amin?
Jawab: Tidak wajib dan tidak sunat.
(Datok Syed Alwi bin Tahir al-Haddad, Fatwa-fatwa Mufti Kerajaan Johor, vol.1, hal. 68)
------- Soal: Waktu khatib di atas minbar membaca khutbah maka apakala dibaca doa bagi sekelian muslimin bolehkah sekelian makmum itu menadah tangan mengatakan amin kerana saya ada mendengar setengah daripada guru-guru berkata boleh dan setengah berkata tidak?
Jawab: Tidak sunat mengangkat tangan. (Datok Syed Alwi bin Tahir al-Haddad, Fatwa-fatwa Mufti Kerajaan Johor, vol.1,hal. 68)

------ Berikut ini pula adalah petikan fatwa Syeikh Athiyah Saqr (terjemahan bebas):
Soal: Di sana terdapat satu pegangan yang begitu masyhur di kalangan umat Islam, bahawa pada hari Jumaat terdapat satu saat (detik) nahas / kecelakaan / sial. Apakah ini benar?
Jawab: Terdapat banyak hadis-hadis yang menerangkan tentang hari Jumaat. Pada hari hari Jumaat itu terdapat kelebihan atas hari-hari lain dalam seminggu. Pada hari itu diciptakan Adam, pada hari itu juga dia dimasukkan ke syurga dan pada hari itulah dia dikeluarkan darinya.
Akan berlaku kiamat pada hari Jumaat, sebagaimana hadis riwayat Muslim.
Pada hari Jumaat Adam bertaubat kepada Allah, dan pada hari Jumaat juga baginda Adam wafat, sebagaimana terdapat di dalam riwayat Malik di dalam kitab al-Muwattho’.
Dan lain-lain perkara lagi yang ada pada hari Jumaat, cuma hadis-hadis yang didatangkan tidak dijazamkan/tidak pasti kesahihannya.
Dan, tidak terdapat dalil yang mengatakan bahawa pada hari Jumaat itu ada satu saat nahas atau sial. Bahkan yang ada berdasarkan nas yang sahih adalah sebaliknya. Terdapat hadis-hadis sahih yang mengatakan bahawa pada hari Jumaat terdapat `saat ijabah’ yang tidak berbetulan seorang muslim melainkan akan dikabulkan doanya. Antaranya ialah sebagaimana yang terdapat di dalam hadis riwayat Muslim.
`Saat ijabah’ bukanlah `saat’ bermaksud jam (60 minit), tetapi ia adalah satu detik yang tidak diketahui ketikanya melainkan Allah sahaja.
Terdapat banyak pendapat di dalam menentukan bila `saat ijabah’ itu dengan bersandarkan kepada nas-nas yang ada. Sehinggakan Ibnul Qaiyim mengatakan terdapat sebela pendapat.
Antara pendapat yang paling kuat ialah ketika khatib duduk di antara dua khutbah di atas minbar sehinggalah selesai sembahyang Jumaat. Ini berdasrkan hadis riwayat Muslim.
Barangkali hikmah di sebalik nas ini ialah memberi peringatan atas wajibnya diam dan mendengar khutbah yang di dalamnya terkandung doa yang dituntut supaya di`amin’kan, dengan berharap agar ia diperkenankan.
Terdapat satu pendapat lain yang mengatakan bahawa waktunya ialah selepas sembahyang Asar sehingga terbenam matahari, sebagaimana riwayat al-Tarmizi.
Pendapat lain, pada akhir waktu selepas Asar, sebagaimana riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i.
Pendapat lain, selepas terbit fajar hingga terbenam matahari.
Dan pendapat-pendapat lainnya yang boleh dilihat di dalam: 1. Kitab Syarah Sahih Muslim - Al-Nawawi, juz. 6, hal. 40, 2. Kitab Zadul Ma’ad - Ibnul Qaiyim, juz 1, hal. 104 3. Kitab Nailul Authar, - Al-Syauqani, juz 3, hal. 255 4. Kitab al-Targhib Wat Tarhib - Al-Munziri, juz 1, hal. 193.
`Saat ijabah’ tidak ditentukan waktunya secara tepat, barangkali hikmahnya ialah agar dengannya akan menjadikan kita satu hari penuh melakukan ketaatan kepada Allah dan berdoa.
Dengan ini ternafilah dakwaan-dakwaan sebahagian orang yang mengatakan bahawa pada hari Jumaat terdapat detik kecelakaan dan sial.

******* intaha Athiyah Saqr******
(Lihat Athiyah Saqr, Ahasanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, vol 12, hal. 284)
Semoga Allah merahmati saudara penyoal.
Wallahu a’lam.
Panel aL-AHKAM online

Khamis, 3 Julai 2008

"Buku Bacaan Minggu Ini"

antara ciri-ciri pemimpin yang baik itu, rajin membaca!
bacalah apa yang mudah difahami dan diamali..