Rabu, 30 Mac 2011

Khutbah Pilihan Bulan Mac:

Kewangan Masjid Perlu Diuruskan Secara Betul

الحَمْدُ للهِ الْقائل فِيْ كِتَابِهِ العَزِيْزِ:

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِي بَلَّغَ الرِّسَالَةَ وَأَدَّى الأَمَانَةَ وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَكَشَفَ الْغُمَّةَ، الَلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ،

أما بعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ، وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَقْوَى.

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga dengan itu, kita akan sentiasa dirahmati Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Masjid adalah rumah Allah yang dibina untuk memenuhi semua keperluan kehidupan umat Islam. Kemakmuran sesebuah masjid lazimnya bergantung kepada kecekapan pegawai dan keseluruhan Jawatankuasanya serta keprihatinan dan kerjasama ahli kariahnya. Kemajuan sesebuah masjid amat penting jika kewangan diuruskan dengan betul.

Khutbah hari ini akan membincangkan tajuk

“ Kewangan Masjid, Mesti Diuruskan Dengan Betul”.

Isu pengurusan kewangan masjid seringkali dibahaskan, antaranya mengenai penyalahgunaan wang tabung masjid atau wang tidak dibelanjakan. Masalah yang paling ketara ialah wang masjid tidak dibelanjakan, sebaliknya hanya disimpan di dalam bank sehingga mencecah puluhan ribu bahkan menjangkau ratusan ribu. Amat menyedihkan, duit tabung masjid banyak, tetapi masjid kurang mengadakan majlis ilmu dan kelas pengajian seperti kelas pengajian akidah, feqah, tasawuf dan sebagainya.

Seringkali kita mendengar, apabila tiba penghujung tahun ada ahli jawatankuasa masjid yang bertanya kepada bendahari : “Berapa banyak duit masjid yang berjaya kita kumpul pada tahun ini?”,mereka menjawab; “Masjid kita lebih banyak duit berbanding masjid kampung sebelah,”. “Tahun depan kita kumpul banyak lagi duit masjid.”

Ingatlah, wang tabung masjid yang didermakan merupakan amanah untuk menguruskan masjid. Gunakanlah wang sumbangan dan derma daripada orang ramai untuk mengimarahkan masjid. Iaitu dengan mempelbagaikan program-program ilmu, menyediakan kemudahan asas bagi keselesaan jemaah, membaiki kerosakan dan mengadakan gotong-royong bagi memastikan kebersihan masjid dan kawasan sekitarnya terpelihara.

Wang tabung masjid hendaklah direkodkan perbelanjaan keluar masuknya dengan sempurna supaya pengurusan wang masjid dapat diuruskan dengan baik dan penuh amanah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pengisian masjid hendaklah ditumpukan kepada aktiviti dakwah seperti ceramah-ceramah agama, kuliah-kuliah ilmiah mingguan dan bulanan. Jemputlah penceramah-penceramah atau tuan-tuan guru yang mendapat tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa agama untuk mengisi program ilmu. Gunakanlah wang tabung masjid untuk membiayai kegiatan keilmuan supaya dapat berjalan dengan sempurna. Begitulah kelas-kelas tusyen anak-anak kita boleh diadakan di masjid seperti kelas bahasa arab, bimbingan UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Kelas-kelas tusyen seperti ini dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa. Inilah peranan ahli jawatankuasa pengurusan masjid yang memanfaatkan kewangan masjid.

Jadikanlah masjid tempat pergantungan ahli kariah untuk menyelesaikan masalah mereka sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam Al-Bukhari antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan-Nya di akhirat nanti:

 وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ 
Yang bermaksud: “Dan lelaki yang hatinya bergantung di masjid-masjid.”
Tabung masjid juga boleh digunakan bagi membaik pulih kerosakan serta menjaga kebersihan dan keceriaannya.
Janganlah sekadar sekeping atap, paip bocor ataupun pembesar suara rosak tidak dibaiki kerana mengharapkan
bantuan kerajaan atau Majlis Ugama Islam Dan Adat resam Melayu Pahang.
Wang tabung masjid juga boleh digunakan secara berhemah untuk menjamu ahli jemaah bagi menggalakkan
mereka mengimarahkan masjid. Di sinilah keprihatinan ahli jemaah diperlukan untuk terus menyumbang
sebanyak mungkin bagi menambah dana tabung masjid.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27;

Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasul-Nya, serta janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah (yang diserahkan kepada) kamu, sedangkan kamu mengetahui dosanya.

Ingatlah! Setiap daripada kita bertanggung jawab mengurus hal ehwal masyarakat Islam termasuk menguruskan masjid. Pengurusan masjid hendaklah diuruskan dengan baik terutamanya dalam urusan pengendalian kewangan masjid. Tunaikanlah amanah-amanah yang telah diberikan kepada kita dengan penuh kejujuran. Sifat amanah ini adalah merupakan lambang atau tanda kepada golongan orang yang beriman kepada Allah. Berdasarkan kepada firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 18;

Yang bermaksud: “ Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

Ketahuilah! Bahawa mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada mereka adalah termasuk dalam golongan orang-orang munafik sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW berdasarkan kepada hadith yang telah diriwayatkan oleh Muslim :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah RA,Rasulullah SAW telah bersabda : “ Tanda orang munafik ada tiga iaitu apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia tidak menepati dan apabila diberi sesuatu amanah

dia khianat”.

Kesimpulannya , berdasarkan kepada ayat al-Quran dan Hadis Rasululah SAW tersebut, setiap urusan kewangan masjid mestilah ditadbir dan diuruskan dengan betul. Tanggungjawab ini dipikul oleh semua pegawai masjid dan jawatankuasa yang telah dilantik. Manakala bagi ahli jemaah hendaklah turut sama memberikan pandangan dan teguran membina sebaliknya bukan mengkritik secara melulu. Kerjasama inilah yang kita harapkan untuk menyatupadukan umat Islam bagi memastikan fungsi masjid berjaya disempurnakan dengan sebaik-baiknya.


باَرَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ بالقُرْآنِ الْعَظِيمِ، وَنَفَعَنِي وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيهِ مِنَ الآيَاتِ

وَالذِّكْرِ الْحَكِيمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ. اَقُولُ قَوْلِي هذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التّائِبِيْنَ

Isnin, 31 Januari 2011

Hukum Imam Membaca Al Quran Secara Langsung Dari Mushaf (Al Quran) Ketika Solat

Jawapan oleh Profesor Dr Ali Jum'ah (Mufti Mesir) :

Saidatina Aisyah RadiyaLLahu'anhu pernah diimami solatnya oleh seorang maula (budak lelaki yang telah dimerdekakan) miliknya yang bernama Zakwan. Pada saat mengimamkannya itu, dia (Zakwan) membaca dari mushaf.

(Disebutkan oleh Bukhari secara ta'liq (tanpa menyebutkan salah satu atau semua sanad, dan penyebutan dengan kalimah pasif). Sahih Bukhari, vol 1 hlmn 245, Bab Imamat al Abdi wa Al Maula; diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, vol 2, hlmn 123; dan Baihaqi, As Sunan Al Kubra, vol 2, hlmn 253).

Oleh itu, para alim ulama dari Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali berpendapat boleh melakukannya.

Pendapat mazhab ini disampaikan oleh Imam Nawawi; beliau berkata, :

Seandainya dia membaca Al Quran dari mushaf, tidak batal solatnya, baik dia hafal atau tidak. Malah, wajib baginya melakukan itu (membaca dari mushaf) sekiranya dia tidak menghafal al Fatihah. Seandainya dia membolak-balikkan lembarannya (al Quran) di dalam Solat, tidak batal solatnya.


Demikian dinyatakan oleh Imam Shafie secara nas di dalam Al Imla dan diterapkan oleh para sahabat (ulama' mazhab kami). - Imam Nawawi, Al Majmu', vol 4, hlmn 27.

Syaikh Rahibani mengambil pendapat Imam Ahmad radiyaLLahu 'anhu, beliau berkata, " Boleh bagi orang yang solat (membaca, melihat dan memandang mushaf), iaitu melihat al Quran.

Imam Ahmad berkata "Tidaklah mengapa dia melakukan solat malam (qiyamulail) dengan orang-orang lain dengan dia melihat mushaf." Ditanyakan kepada Imam Ahmad radiyaLLahu anhu. "Bagaimanakah dengan solat fardhu"? Imam Ahmad menjawab, Aku tidak mendengar sedikitpun tentang hal itu.

Az Zuhri pernah ditanya tentang seorang lelaki yang membaca mushaf (ketika di dalam solat) di bulan Ramadhan. Beliau (az Zuhri) menjawab,
"Orang-orang yang terpilih (tokoh-tokoh) di antara kami membaca al Quran dari mushaf-mushaf
:. - Syaikh Ar Rahibani, Mathalib Ulin Nuha, vol 1, hlmn 483 dan 484.

Hanya pada kalangan ulama Mazhab Maliki sahaja yang menyatakan hukumnya (membaca mushaf) adalah makrudh ketika sedang solat fardhu atau solat sunat. Sementara pada ulama' Mazhab Hanafi adalah berbeza-beza pendapat di kalangan mereka.

Atas dasar ini, kami berpandangan adalah rajih dan kuatnya pendapat majoriti (kebanyakan) besar pada ulama' bahawa membaca al Quran dari mushaf di dlam solat itu adalah sah dan tidaklah ada dosa padanya (membaca al Quran dari mushaf). Dan ALlah subahanahu wa ta'ala. Yang Maha Tinggi lagi Maha Mengetahui.

Sumber :

Prof Dr Ali Jum’ah, Penjelasan Terhadap Masalah-masalah KhilafiahAl Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, .2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor
DIPETIK DARIPADA : jomfaham.blogspot.com

Khamis, 30 Disember 2010

ISTIKHARAH..BANTULAH HAMBA-MU YA ALLAH..

Doa Istikharah bererti:
Memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.


Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:



"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).