“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan ISLAM itu menjadi agama untuk kamu”.
( Surah al-Maidah Ayat 3 )
Sesungguhnya Allah S.W.T adalah Tuhan yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Pencipta.
Islam adalah adalah salah satu daripada ciptaan-Nya. Sudah tentulah ianya lengkap dan sempurna kerana diciptakan melalui kekuasaan, pengetahuan dan kebijaksanaan-Nya. Oleh kerana itu, kita mestilah menerima islam sepenuhnya tanpa menambah atau membuang salah satu daripada ajarannya kerana perbuatan itu akan akan menjejaskan dan mencacatkan kesempurnaanya.
Malangnya, terdapat dikalangan umat islam bahkan kadangkala daripada golongan yang terpelajar yang tidak berpuas hati dengan islam. Golongan ini tidak henti-henti menyeru supaya Islam diberi tafsiran baru yang lebih menepati tuntutan semasa kononnya. Bagi mereka, Islam yang ada sekarang tidak sesuai dengan akal fikiran, zalim, menindas kaum wanita, ketinggalan zaman, menghalang kemajuan dan lain-lain tuduhan lagi. Dari itu, kita dapati hukum-hakam Islam seperti poligami, pembahagian harta warisan, aurat lelaki dan wanita, hudud, jihad, amar ma’ruf nahi mungkar dan lain-lain hukum sering menjadi mangsa tuduhan dan sasaran kritikan mereka.
ANTARA PENDEKATAN YANG DIGUNAPAKAI OLEH ISLAM LIBERAL IALAH :
1. Mengemukakan ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang saling bertentangan
2. Menghuraikan ajaran Islam dengan semudah-mudahnya tanpa terikat kepada al-Quran, Sunnah,Ijma’ Ulama’ dan Qias atau kaedah Bahasa Arab yang tepat.
3. Merendah-rendahkan peranan para ulama’ serta mempersalahkan mereka atas kemunduran umat islam.
4. Mencanagkan prinsip kebenaran bukan milik agama tertentu, tetapi terdapat dalam semua agama, kerana semua agama mengajak manusia kepada kebaikan.
Pendekatan Islam Liberal yang menyeru kepada pluralisme iaitu pemahaman semua agama itu sama adalah amat merbahaya kerana kita telah menafikan kesucian dan kebenaran agama islam. Berhati-hatilah wahai saudara sekalian terhadap golongan yang membicarakan agama dengan akal fikiran semata-mata. Jika sesuai dengan fikiran akan diterima, jika bertentangan akan ditolak. Apabila akal gagal memahami hikmah sesuatu hukum, sepatutnya akallah patut dituduh kerana kelemahannya, kecetikan ilmu dan kedangkalannya, bukan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana yang dituduh. Ini tidak bermakna Islam menolak akal fikiran secara mutlak, tetapi yang ditolak ialah penggunaan akal secara mutlak. Sayyidina Ali pernah berkata :
“ Kalaulah Islam itu terletak seluruhnya pada akal fikiran semata-mata, nescaya menyapu bahagian bawah kasut khuf (hukum ketika berwudhuk bagi orang-orang yang bermusafir) itu lebih utama daripada menyapu bahagian atasnya”.
Disusun oleh: Ustaz Haji Mohd Zainudin Bin Haji Zakaria al-Hafiz
Dipetik daripada: Khutbah Jumaat Jabatan Mufti Negeri Pahang Siri-4/2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan