Isnin, 2 April 2007

SENIBINA BAIT MUSLIM MENURUT SIRAH RASULLLAH SAW

1.0 PENDAHULUAN
Matlamat tugas Rasulullah SAW adalah untuk menubuhkan Daulah Islamiyah untuk menjalankan sistem hidup yang diwahyukan oleh Allah SWT. Sirah memaparkan cara Rasulullah SAW mendukung Islam dalam segenap segi.Dalam bait muslim, Rasulullah SAW adalah uswah hasanah dari segi tindak tanduknya sebagai seorang suami kepada isteri-isterinya, sebagai bapa kepada anak-anaknya dan sebagai pemimpin. Di dalamnya tergambar identiti dan ciri-ciri tersendiri bait muslim untuk dicontohi senibinanya.Sabda Nabi Bermaksud:“Apabila seseorang hamba itu telah berkahwin maka dia telah melengkapi separuh dari agamanya, bertaqwalah ia kepada Allah dalam hal yang separuh lagi.”(Baihaqi)
2.0 MATLAMAT PERKAHWINAN
Perkahwinan “menyatukan secara hakikat seorang lelaki dengan hakikat seorang perempuan” bukan semata-mata “pertemuan dua jasad”. Di antara tujuan perkahwinan adalah:
1) Menghasilkan rohani yang suci ibadah dan pengabdian diri kepada Allah
2) Meningkatkan darjat dan menetapkan pendirian
3) Melatih diri sebagai pentadbir keluarga
4) Membentuk budi pekerti
5) Mengeratkan hubungan masyarakat
6) Memelihara kesihatan
7) Menyumbangkan kekuatan politik Islam.
Muhammad Rashid Ridha dalam menafsirkan firman Allah SWT:Yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”(ar Rum:21)Berkata, ada tiga unsur yang harus dicapai oleh rumahtangga muslim:
1) Lahir ketenteraman jiwa suami isteri – perasaan rindu, kasih dalam pergaulan mereka dan saling menjaga antara satu sama lain.
2) Lahir perasaan cinta melalui pergaulan dan tolong-menolong.
3) Lahir naluri keibuan dan kebapaan yang memberikan kasih sayang kepada anak-anak.
3.0 PEMILIHAN CALON SUAMI ATAU ISTERI
Pemilihan suami atau isteri dalam rumahtangga mestilah berdasarkan agama. Orang-orang berilmu dan beragama adalah kufu’ untuk orang-orang seumpamanya juga, supaya tidak terjadi kepincangan antara suami isteri. Di dalam sebuah hadis,Rasulullah SAW bersabda:تخيروا لنطفكم وأنكحوا الأكفاءMaksudnya: “Dirilah olehmu benih-benih dari keturunan yang baik-baik sesungguhnya sistem baka (sesuatu yang diwarisi) itu suatu warisan”.Di dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda:
تنكح المرأة لأربع : لمالها، ولجمالها ، ولحسبها ، ونسبها ، ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك
Maksudnya: “Lelaki-lelaki yang berzina, tidak berkahwin melainkan dengan perempuan penzina atau perempuan kafir, manakala penzina perempuan tidaklah berkahwin melainkan dengan penzina lelaki atau seorang musyrik dan diharamkan mereka itu ke atas orang mukmin.”Besabda Rasulullah SAW dalam satu hadis:اذا خطب اليكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه انكم لال تفعلوا تكن فتنة فى الأرض وفساد عريضMaksudnya: “Apabila datanglah kepada kamu pinangan orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinlah olehmu akalnya, sesungguhnya kamu sekiranya tidak berbuat demikian akan menyebabkan fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
4.0 KEPIMPINAN DALAM RUMAHTANGGA
Pemimpin dalam rumahtangga adalah suami. Isteri adalah pembantu yang penting. Allah SWT berfirman yang bermaksud:“Lelaki bertanggungjawab keatas isteri”Rasulullah SAW bersabda bermaksud:“Seorang lelaki adalah seorang ketua dalam keluarganya dan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Wanita itu ketua di rumah suaminya serta bertanggungjawab terhadap jagaannya.”(Bukhari dan Muslim)Lelaki adalah ketua rumahtangga sehingga isteri tidak boleh keluar dari rumah tanpa izin suami untuk menjamin keamanan rumahtangga. Pernah berlaku peristiwa di zaman Rasulullah SAW iaitu seorang isteri tidak sanggup keluar rumah walaupun untuk menziarahi ayahnya yang sedang sakit tenat. Apabila Rasulullah SAW mengetahui perkara ini, beliau berkata: “Sesungguhnya Allah SWT mengampuni ayahmu dengan tindakanmu itu.”Allah SWT memerintahkan dengan firmannya yang bermaksud:“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”.(at Tahrim:6)
5.0 CIRI-CIRI DAN IDENTITI BAIT MUSLIM
Identiti tersebut dapat dikenal dari ciri-ciri berikut:
1) Rumahtangga yang teguh, kukuh dan damai, ahli-ahlinya berpendidikan Islam:
2) Suasana semulajadinya sentiasa riang dan gembira.
3) Rumahtangga yang sentiasa suci,bersih dan selesa
4) Menjauhi perkara-perkara haram dan syubhat
5) Penjagaan sembahyang:
6) Wanita muslimah (yang menjadi penghuni rumahtangga muslim) suci hatinya:
7) Memandang tinggi, memuliakan dan menghormati diri, agama serta peribadi muslim:
8) Kebijaksanaan mentadbir rumahtangga
9) Rumahtangga yang sentiasa menjadi tumpuan kebaikan.
10) Dakwah terlaksana di dalamnya
11) Ciri-ciri tambahan
6.0 PENDIDIKAN ANAK-ANAK
Pendidikan anak-anak bermula dengan pendidikan ayah dan ibu. Sebelum ibu bapa mengajar anak-anaknya, perlulah mereka menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada mereka. Ibubapa tidak harus melepaskan tugas ini kepada yang tidak sempurna. Siapakah lagi yang akan mendidik anak-anak dengan baik jika bukan mereka? Perkara ini adalah amat serius.Abdullah Nasih Ulwan menghuraikan di dalam kitabnya ‘Tarbiyyatul Awlad’ bidang terpenting dalam pendidikan anak-anak ialah:
1) Pendidikan iman
2) Pendidikan Moral
3) Pendidikan tubuh badan
4) Pendidikan intelek
5) Pendidikan Psikologi
6) Pendidikan sosial dan Pendidikan Seksual
Ibubapa hendaklah bersikap adil (an Nahl:90) menahan perasaan marah (al Imran:134) mengucapkan kata-kata yang baik (al Baqarah:83) dan bersikap keras (al Imran:159).Bapa perlulah merancang pendidikan bagi keluarganya berasaskan Ad Deen. Anak-anak yang kuat kefahaman akidahnya akan mantap kedudukannya dan mempunyai daya ketrampilan yang tinggi. Suami harus memberi penumpuan kepada usaha mencari nafkah manakala isteri menguruskan rumahtangga secara cekap dan teratur.Antara syiar dan kewajipan ibubapa ialah membaca al Quran dan tafsirnya, kemudian mengajarkannya kepada anak-anak. Harus diingat juga ketidakseimbangan kerja dakwah di luar dan di dalam rumah menyebabkan risiko yang buruk. Hak-hak ahli keluarga harus dipelihara disamping meyampaikan risalah Allah SWT di luar rumah.Antara lain ialah menziarahi jiran, sanak saudara dan rakan-rakan. Berehlah ke lokasi yang indah dapat melapangkan jiwa sambil menikmati keagungan ciptaan ilahi. Menziarahi perkuburan juga dapat mengingatkan kita kepada mati seterusnya melengkapkan diri dengan amalan soleh.
7.0 BI’AH SOLEHAH
Para da’ie harus mengekalkan bi’ah solehah dalam seluruh kehidupan kekeluargaan seseorang da’ie. Harakah Islamiah mestilah mengatur agar ahli-ahlinya berumahtangga dengan muslimat yang juga terlibat dalam dakwah. Ini penting kerana tidak mungkin seseorang da’ie itu menghayati tugasnya sekiranya suasana perjuangan itu sendiri tidak dihidupkan di dalam rumahtangga bersama-sama anak dan isterinya.Sebaliknya jika asas perkahwinan seseorang muslim dan muslimah itu adalah untuk melaksanakan perjuangan menegakkan Islam, maka hubungan suami isteri pada hakikatnya adalah satu hubungan yang dapat meningkatkan dan meneruskan tarbiyah. Ini kerana perbincangan dan amalan mereka sentiasa berkisar di sekitar hal-hal yang berkaitan dengan perjuangan Islam, iaitu bagaimana hendak meningkatkan iltizam dengan amal-amal Islami, bagaimana hendak mendidik anak-anak untuk menjadi pejuang-pejuang Islam di masa depan dan seterusnya.
8.0 PENUTUP
Bermula dari membina Bait Muslim yang hakiki dan dengan mengetahui matlamat dan ciri-ciri yang dituntut oleh Islam akan melahirkan suatu suasana kehidupan Islam yang syumul, dari Daulah Syugro ini hinggalah kepada menegak Daulah Islamiah kerana Bait Muslim adalah anak tangga ke arah pembinaan Daulah Islamiah.Bahan rujukan:1. Ciri-ciri rumahtangga Muslima2. Kertas Kerja: Pengurusan rumahtangga3. قوانين البيت المسلم – سعيد حوى_______________________
Nur DEEN : Kepada Ust Soleh dan pasangannya Mariana..didoakan semoga bahagia!!

Tiada ulasan: