Tirai tahun 1428 akan dilabuhkan seminggu lagi dan jendela 1429 H telah sedia untuk mempersadakan pemandangan tahun baru buat umat Islam. Saban tahun kita direntasi dengan perantaraan tahun Hijrah yang begitu bermakna apatah lagi buat generasi ummat Islam yang memahami sirah dan erti perjuangan. Bermula dengan tirai Muharram sehingga Zulhijjah, 12 bulan ini terkandung fadhilat dan percaturan sirah generasi ummat terdahulu dan ummat Nabi Muhammad S.A.W yang insya-Allah dapat dimanfaatkan oleh kita semua. Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat:36 Bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan iaitu dalam ketetapan Allah dalam penciptaan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus”.
Perkiraan tahun hijrah mula dihitung secara sistematik oleh Sayyidina Umar Al-Khattab RA dengan mengambil kira faktor hijrah Rasullulah SAW. Sayyidina Umar meletakkan satu ijtihad yang begitu besar rahmatnya kepada kita dalam konteks tersusunya sebuah kelendar Islam yang begitu hebat menandingi kelendar-kelendar lain. Hijrah pada tahun 622M menjadi titik permulaan ketemadunan silam dan asas kepada terbinanya tamadun-tamadun masa kini.
Justeru amat malanglah bagi kita selaku Azhari sekiranya terdetik difikiran kita bahawa kelendar atau medium percaturan masa tamadun lain, seperti kalaendar Masihi jauh lebih baik daripada kalendar Islam. Ini satu kesilapan. Para azhari perlu berperanan memertabatkan kembali tahun Hijrah lebih atau setara dengan tahun masihi dalam apa jua lapangan.
Tahun hijrah dimulai dengan iftitah bulan haram iaitu Muharram dan diakhiri dengan keberkatan ibadah haji iaitu Zulhijjah. Bulan Muharram merupakan bulan keizzahan umat Islam lantaran di dalamnya terkandung 1001 kisah perjuangan umat terdahulu. Bulan Muharram boleh dianggap bulan ekspedisi sirah nabi-nabi terdahulu dalam mengharung ombak badai perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT.
Di antara keistimewaan bulan ini ialah pada 10 Muharram yang dikenali sebagai hari As’yura. Pada hari tersebut kita disunatkan berpuasa bagi meraih berganda-ganda pahala yang disediakan oleh Allah SWT. Didalam mazhab Hanafi, puasa 10 muharram merupakan satu-satunya puasa yang difardhukan sebelum difardhukan puasa di bulan Ramadhan.
WALLAHUA'LAM....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan