Pembinaan masjid di Quba’ , Wadi Ranuna’ [1] dan di Yathrib ( Madinatun Nabi ) menjadi batu asas pembinaan tamaddun Islam unggul berpaksikan kedaulatan syariat dan ummah yang bermartabat.
Ianya ( masjid ) tidak dibina semata – mata untuk mendirikan solat , tetapi juga sebagai nokhtah mula keagungan ummat. Dari situlah nabi saw. menggerakkan jentera kerajaan dan mengatur strategi membangunkan ummah .
Masjid : Iktibar dari Seerah an Nabawiyyah
Syeikh Dr. Musthafa as Sibae’i menyebut di dalam kitabnya as Seeratun Nabawiyyah : Durus wa I’bar :
“ Memang tidak dapat disangkal lagi , bahawa masjid membawa risalah kemasyarakatan dan kerohanian yang agung nilainya terhadap kehidupan ummat Islam . Masjid lah yang menyatukan saf – saf ummat Islam , menyucikan jiwa mereka , menghidupkan hati dan aqal mereka , menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka dan akhirnya menampilkan kekuatan jua hubungan erat mereka .
Sesungguhnya telah terbukti bahawa sejarah masjid di dalam Islam , menjadi markaz bagi tentera Islam berangkat ke medan untuk menakluki muka bumi dengan hidayah Allah swt .
Dari masjid jua terpancarnya sinaran cahaya dan hidayah buat ummat Islam dan lainnya malah masjidlah juga berkembangnya peradaban Islam . Bukan kah Abu Bakar , Umar , Uthman , A’li , Khalid , Saad , Abu U’baidah dan tokoh – tokoh seumpama mereka yang terdiri daripada pemimpin – pemimpin agung dalam sejarah Islami merupakan anak -anak murid di Madrasah al Muhammadiyyah yang berpusat di Masjid an Nabawi .
Antara keistemewaan yang lain , masjid pada setiap minggu berkumandang kalimah al haq menerusi seruan khatib yang menentang kemungkaran , memperjuangkan syariat , menyeru kearah kebaikan , menginsafkan mereka yang lalai , menyeru kearah kesatuan, membasmi kezaliman dan memerangi perbuatan yang melampaui batas .
Sesungguhnya kita telah menyaksikan bagaimana dulunya masjid – masjid menjadi markaz – markaz yang menyemarakkan gerakan anak watan menentang penjajah Perancis . Berpangkalan di masjidlah , tokoh – tokoh jihad menetang penjajah dan menentang zionisme .
Apabila kita menyaksikan kepincangan masjid hari ini dari fungsi dan peranannya yang hebat , maka tiada lain melainkan kesalahan sebahagian khatib yang terdiri daripada khatib yang hanya bertugas memburu elaun atau jahil lagi leka .
Alangkah beruntungnya , jika dalam keadaan seperti ini , lahir segolongan pendakwah yang tegas membawa kebenaran , bangkitnya ulama yang memperjuangkan syariat Allah . Mereka ikhlas kerana Allah dan Rasulnya saw. , mereka menasihati pemimpin dan ummat Islam seluruhnya .
Mengembalikan masjid sebagai tempat kegiatan masyarakat , mendidik tokoh – tokoh dan melahirkan pejuang – pejuang , mengislahkan kefasadan , memerangi mungkar dan membentuk masyarakat berasaskan taqwa dan redha Allah swt.”
Rujuk : Seerah an Nabawiyyah : Durus wa I’barOleh Dr. Musthafa Sibae’I . Muka surat 74 – 75Cetakan ke 9 oleh al maktab al islami ( 1986 ) Dimasyq
Masjid Terbelenggu
Realiti hari ini bertambah parah apabila melihat nasib masjid dan pengurusannya yang kian terabai . Lebih malang apabila wujudnya fenomena terancang untuk membelenggu masjid agar ia tidak berfungsi sebagai markaazul ummah .
Siapa lagi yang lebih bejad daripada mereka yang menghalang rumah Allah ( masjid ) agar tidak diimarahkan dengan ilmu dan zikrullah . Lebih parah apabila mereka “ sampai hati ” meruntuhkan rumah Allah yang pastinya dibina di atas tanah waqaf milik Allah swt.
Firman Allah swt :
“ Siapa lagi yang terlebih zalim daripada orang yang menghalang masjid – masjid Allah bahawa disebut didalamnya namaNya dan berusaha merobohkannya ? Mereka tidak layak memasukinya kecuali dengan rasa takut ( kepada Allah ) . Bagi mereka kehinaan di dunia dan bagi mereka azab yang sangat dahsyat di akhirat .”
Surah al Baqarah . Ayat : 114
“ Siapa lagi yang terlebih zalim daripada orang yang menghalang masjid – masjid Allah bahawa disebut didalamnya namaNya dan berusaha merobohkannya ? Mereka tidak layak memasukinya kecuali dengan rasa takut ( kepada Allah ) . Bagi mereka kehinaan di dunia dan bagi mereka azab yang sangat dahsyat di akhirat .”
Surah al Baqarah . Ayat : 114
Terlalu banyak masjid dalam Negara kita hari ini hanya dijadikan tempat solat dan lebih melucukan bagaimana terdapat masjid yang hanya berfungsi sebagai tempat kunjungan pelancung selain daripada solat berjamaah yang sangat kecil kuantitinya berbanding saiz masjid tersebut.
Keghairahan mendirikan masjid yang tidak seimbang dengan keghairahan mengurus dan mengimarahkannya meletakkan situasi ini sebagaimana yang pernah dibimbangi oleh Rasulullah saw. dalam hadis baginda yang diriwayatkan dari Saidina Ali Karramallahuwajhah :
يُوشِكُ أنْ يأتيَ علَى النَّاسِ زَمانٌ لاَ يَبْقَى مِنَ اْلإسلامِ إلاَّ اسْمُهُ وَلاَ يَبْقَى مِنَ اْلقُرْآنِ إلاَّ رَسْمُهُ مَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِيَ خَرَابٌ مِنَ اْلهُدَى عُلَمَاؤهُمْ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمَاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ اْلفِتْنَةُ وَفِيْهِمْ تَعُوْدُ
رواه البيهقي
Sudah hampir suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al Quran itu kecuali hanya tulisannya . Masjid – masjid mereka tersergam indah tetapi ia kosong daripada hidayah . Ulama’ mereka adalah sejahat – jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit . Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali .
Pengalaman saya dikepung oleh polis yang lengkap bersama anjing , menyerbu masuk ke kawasan laman Masjid Peramu Kuantan sementara waktu itu saya sedang menyampaikan ceramah Maulidur Rasul saw , cukup menggambarkan bagaimana masjid dibelenggu .
Perlantikan ahli jawatan kuasa masjid dikalangan mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke masjid semata – mata tidak mahu masjid itu diimarahkan dengan majlis ilmu antara bukti bahawa pembelengguan masjid sangat ketara .
Menghantar SB [2] untuk memantau aktiviti masjid atau surau bukan sahaja menakut – nakutkan masyarakat untuk menghidupkan aktiviti masjid dan surau tetapi juga bermaksud untuk memberi tekanan kepada penceramah dan guru agama yang mengajar agar tidak menyentuh soal penyelewengan dan mungkar yang berlaku dalam Negara.
Sedang kelab – kelab malam dan pusat – pusat hiburan yang menjadi tempat subur untuk bercambahnya maksiat dan jenayah tidak dilayan sedemikian rupa .
Pekeliling yang pernah dihantar kepada surau dan masjid di Lembang Klang agar tidak mengadakan tazkirah di bulan Ramadhan juga mempunyai maksud yang sama untuk mengekalkan pembelengguan tersebut.
Arahan agar khatib hanya dibenarkan membaca teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama meskipun khatib tersebut seorang yang diiktiraf ilmunya oleh universiti yang mu’taraf turut dilihat sebagai usaha menyempitkan fungsi surau dan masjid.
Sudahlah ruang dan peluang untuk bercakap Islam amat terhad , tiba – tiba masjid dan surau yang dianggap ruang yang paling kondusif untuk berbicara perkara agama turut dikekang , maka dimana lagi Islam ini boleh dijelaskan secara bebas dalam Negara ini ?
Pengurusan Masjid .
Selayaknya masjid diurus selia secara professional dan jujur bagi meletakkannya sebagai institusi penting dan suci dalam masyarakat .
Sangat malang apabila masjid bagaikan bangunan usang yang terbiar tanpa dipedulikan penyelenggaraannya sebagai sebuah tempat ibadah . Masing – masing melepaskan tanggungjawab kepada pihak yang lain dan akhirnya semua berlepas harap .
Sesetengahnya sangat berbangga dengan jumlah kutipan derma mingguan yang meningkat saban minggu dan dipaparkan di papan putih masjid berkenaan , sedang masjid tersebut sangat tidak terurus dengan sistem pengaliran air di kolam wudhu’ , kebersihan tandas yang sangat rendah dan menyedihkan , sistem pembesar suara yang uzur serta lemah dan pelbagai kelemahan yang ketara .
Kenapa tidak wang yang begitu banyak hasil sumbangan orang ramai dimanafaat sepenuhnya untuk meletakkan masjid dan surau sebagai sebuah institusi yang hebat dan menarik . Apa yang paling penting ialah masjid mesti menjadi tempat yang paling selesa dan tenang untuk ummat mengabdikan diri kepada Allah swt.
Imej tandas masjid sebagai tandas yang paling kotor sepatutnya tidak kedengaran lagi . Bukankah kebersihan adalah sebahagian daripada tanggungjawab utama setiap individu muslim ? Bukan sahaja bermaksud supaya masjid tidak dipandang rendah oleh masyarakat umum, tetapi juga untuk mencari redha Ilahi .
Peranan dan Fungsi Masjid .
Selayaknya masjid diimarahkan . Sebagaimana tiada nilai masjid yang tidak diurus , begitulah tiada erti dan gunanya masjid yang diperbesar dan diperbanyakkan tetapi sepi tanpa aktiviti .
Saya sangat bersetuju dengan gesaan S.S Dr. Asri Zainal Abidin agar masjid mestilah dilihat sebagai mesra remaja dan mesra ummah seluruhnya.
Masjid tidak sepatutnya menghadkan aktiviti kepada solat berjamaah semata – mata , demikian juga tazkirah dan kupasan ilmu yang hambar dan tidak membawa ahli jamaahnya wujud dalam cabaran zaman mereka yang sebenarnya.
Sebaliknya masjid mestilah aktif menganjurkan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masjid kepada mereka yang cuba menjauhkan dirinya daripada masjid .
Malah aktiviti kemasyarakatan dan budaya mereka yang tidak bercanggah dengan Islam amatlah baik didekatkan kepada masjid . Biarpun asalnya aktiviti itu bukan berbentuk ibadah namun apabila ia bertolak dari masjid dan surau , kita mengharapkan ia menjadi satu bentuk ibadah yang diredhai oleh Allah swt .
Cadangan S.S Dr. Asri agar tuisyen akademik diadakan di masjid atau surau agar tidak sahaja ustaz dan pak lebai menguasai ruang legar masjid tersebut tetapi juga guru akademik dan murid – muridnya berhak ber“mesra” dengan masjid adalah cadangan yang sepatutnya diambil perhatian .
Saya berkeyakinan , jika semua pihak mengambil ruang dan bahagian mem“peranan”kan masjid seperti kaum ibu dengan aktiviti mereka , pelajar dengan aktiviti mereka dan ajk masjid dengan aktiviti mereka , masjid akan dilihat makmur , meriah , ceria dan menarik .
Pengalaman saya di Damsyik dan Tanta dapat melihat dari dekat bagaimana di sana terdapat masjid yang dilengkapi dengan maktabah ( perpustakaan ) untuk masyarakat merujuk pelbagai sumber ilmu dan Klinik yang beroperasi di masjid sepanjang hari dengan hanya ditutup pada waktu solat.
Keadaan itu tidak lagi meletakkan masjid dan surau sepi bersendirian dan akhirnya menjadi sasaran mat gian dan kaki lepak beroperasi dan mencuri .
Malang ada masjid yang kehilangan besi keranda , tongkat khutbah dan set P.A system. Jawab mudah , kerana masjid tersebut sepi ditinggalkan oleh imam dan makmumnya.
Masjid sepatutnya tidak perlu berkunci dan berjaga , sudah cukup amalan iktikaf dan mengimarahkan masjid menjadikan masjid kawasan atau zon paling selamat dalam dunia .
Kalaupun keadaan memaksa demi memelihara barangan milik masjid daripada dicuri oleh penjenayah , maka saya syorkan agar sediakan kawasan berkunci untuk menyimpan barangan berharga milik masjid sementara ruang masjid terbuka untuk aktiviti umum mengabdikan diri kepada Allah swt.
Ataupun , sediakan ruangan khas yang tidak berkunci ( sebahagian dari masjid ) tersebut agar tidak menghalang aktiviti ummah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. terutama buat musafir lalu .
Pendekkata , sebagaimana pengurusan hotel ada kursus yang disediakan untuk meningkatkan prestasi pengurusan maka saya kira pengurusan masjid juga min baabil aula patut diadakan kursus untuk tujuan meningkatkan kesedaran dan keinsafan dikalangan ummah terhadap pengurusan masjid dan surau .
Masjid Chinese .
Akhir – akhir ini ramai pihak membincangkan isu Masjid Chinese . Pelbagai pandangan berupa pro dan kontra telah dipaparkan kepada umum samada melalui media massa mahupun dalam perbincangan tertentu .
Saya berpandangan bahawa isu penubuhan atau pembinaan Masjid Chinese adalah wajar . Selain daripada ianya telah disuarakan oleh S.S Dr. Asri Zainal Abidin , Kerajaan PAS di Kelantan juga telah menggiatkan aktiviti serupa kearah menarik minat sahabat – sahabat kita dari kaum Tionghua menghayati ajaran Islam .
Negara kita tidaklah asing dengan masjid mengikut etnik kerana negara telah memiliki Masjid Pakistan dan Masjid India . Alhamdulillah biarpun dinamakan sebagai Masjid Pakistan atau Masjid India ianya tidaklah beroperasi berasaskan etnik dan realiti itu sangat penting agar Islam tidak dipisahkan menurut etnik.
Saya tidak menafikan persoalan ini ada pro dan kontra , namun tidak mengapa satu keberanian untuk melakukannya disuara dan dikotakan. Namun langkah bijak elok diambil dengan mendengar terlebih dahulu pandangan sahabat – sahabat chinese muslim terhadap keperluan penubuhan masjid chinese tersebut.
Igauan “masuk Islam adalah masuk melayu” mungkin menjadi antara salah satu faktor kearah cadangan pembinaan masjid chinese ini.
Manakan tidak , selain daripada kecintaan kepada nusa dan bangsa mereka yang tidak mungkin mereka gadaikannya , apalah yang ada pada melayu untuk mereka tinggal bangsa mereka lalu masuk melayu ?
Jika dilihat kepada statistik yang dikeluarkan oleh pihak PDRM dan juga Jabatan Pembangunan Wanita jelas memperlihatkan kepada kita betapa pelbagai jenayah yang berlaku dalam negara kita kini dijuarai oleh melayu .
Justeru itu , melayu hanya hebat dengan Islam . Melayu terkenal di serata dunia bukan kerana bangsanya tetapi kerana agamanya ( Islam ) yang membentuk akhlak dan adab mulia.
Bangsa tetap bangsa dan mereka tidak mungkin jadi melayu . Mereka bebas mengamalkan budaya hidup bangsa mereka sedang mereka seorang yang komited dengan ajaran Islam .
Mudah – mudahan ia akan melebarkan lagi pintu masuk Islam ini kepada semua ummat tanpa mengira apa bangsa dan budaya mereka .
Sungguhpun begitu , saya sangat berharap agar perkembangannya dipantau agar ia tidak melarat kepada pemisahan dan jurang yang semakin jauh antara etnik yang menganut ajaran Islam tersebut .
Inilah peranan pengurusan masjid yang baik dan makmur . Masjid diimarahkan dengan kepelbagaian aktiviti dengan tahap penglibatan yang melampaui batas bangsa dan budaya.
[1] Tempat mula – mula Nabi saw. mendirikan solat jumaat di Madinah . ( di Tengah – tengah Wadi Ranuna’ ) Rujuk : Sirah an Nabawiyyah Li Ibni Hisyam .
M/s 315 Juz. Pertama. Cetakan Dar Ibn Rejab . Mansourah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan