Khamis, 16 Julai 2009

Majlis Istiadat Konvokesyen Pertama Universiti Darul Imam Malaysia
*Alhamdulillah, atas nikmat yang diberikan Allah, hari ini saya berpeluang mengemaskini blog. Sebelum terlupa, ucapan TAHNIAH di atas kejayaan Ustazah Norhafizah Binti Abdul Rahman (isteriku) memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) Dengan Kepujian..
Seminggu dua ini juga saya selalu sms bertanya khabar sahabat sepengajian di Shobra 3 tahun lepas (Nahi) sekarang menyambung di Kuliah Pengajian Al-Quran di Tonto. Masih teringat di tahun akhir pengajian ramai yang bercita-cita ingin menyambung pengajian di Tonto.. tapi, bila dah pulang ke Malaysia dan bekerja serta berumahtangga, mungkin cita2 ingin menyambung ke Tonto hanya tinggal harapan. insya Allah, belajar dan terus belajar tak kira di mana berada.. di sini saya nak kongsikan beberapa maklumat berkenaan tempat pengajian yang boleh dijadikan pilihan utama terutama kepada jenior2 yang sudah berada di tahun akhir Kuliah Al-Quran dan Qiraat, Shobra.


كلية القرءان الكريم للقراءات وعلومها بطنطا

SEJARAH RINGKAS PENUBUHAN

Kuliah Al-Quran dan Al-Qiraat ditubuhkan pada 1991 di Tanta,Mesir. Namun pengajiannya bermula pada sessi 1992/1993. Pada peringkat permulaan, kuliah ini hanya menerima kemasukan kurang daripada 200 orang mahasiswa, tetapi jumlah ini semakin meningkat tahun demi tahun ekoran sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Mesir sendiri juga kemasukan pelajar-pelajar wafidin yang terdiri daripada rakyat Malaysia,Indonesia dan Afrika.Kuliah ini merupakan kuliah yang tunggal yang tiada di mana-mana tempat selain di Tanta selain juga kuliah Al-Quran yang ketiga di dunia selepas Kuliah Al-Quran di Madinah, Arab Saudi dan Kuliah Al-Quran di Islamad, Pakistan.
Walau bagaimana pun, berbanding dengan kuliah-kuliah Al-Quran yang lain, kuliah ini merupakan kuliah yang menawarkan pengajian Al-Quran yang tertinggi khasnya pengajian yang berkaitan dengan ilmu Al-Qiraat.
Tujuan sebenar penubuhan kuliah ini adalah untuk menumbuhsuburkan ilmu-ilmu yang berkaitan secara langsung dengan Al-Quran amnya dan khususnya ilmu Al-Qiraat di Mesir yang terkenal zaman berzaman dengan ulama-ulama dan para Qurra yang tidak terbilang ramainya, atau dengan kata-kata lain bagi mengeluarkan ulama-ulama Qiraat demi memastikan keagongan dan kesucian Al-Quran sentiasa terjaga.
Penubuhan kuliah ini membuktikan kesungguhan Al-Azhar yang merupakan kiblat ilmu-ilmu Islam dalam memastikan kesyumulan Islam sentiasa dihayati oleh umatnya bukan hanya di Mesir bahkan di seluruh dunia. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya kepada para ulama yang ikhlas berjuang mendidik anak-anak Azhari tanpa mengira bangsa dan warna kulit.


SYARAT-SYARAT KELAYAKAN

Mempunyai atau memegang Syahadah Takhassus Qiraat daripana mana-mana Maahad Qiraat di Mesir tanpa mengira peringkat umur dan tahun syahadah tersebut diperolehi.

SISTEM AKADEMIK

Tempoh pengajian di kuliah ini adalah selama 4 tahun( 8 semester). Setiap tahun pengajian terbahagi kepada 2 semester. Kehadiran ke kuliah adalah diwajibkan dan hanya 75% kehadiran sahaja yang melayakkan seseorang pelajar itu mengambil peperiksaan.

PENGKHUSUSAN

Kuliah ini terbahagi kepada dua pengkhususan:

1.Pengkhususan ilmu-ilmu Al-Quran.
2.Pengkhususan ilmu-ilmu Al-Qiraat.


SUBJEK-SUBJEK

Subjek-subjek yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Al-Qiraat adalah seperti berikut:
Teori ilmu Al-Qiraat.
Praktikal ilmu Al-Qiraat.
Sejarah ilmu Al-Qiraat.
Taujih Al-Qiraat.
Ilmu Al-Aswat (Fonologi) dan Al-Lahajat (Dialek).
Ilmu Al-Waqf wa Al-Ibtida’.
Ilmu Al-Rasm Al-Uthmaniy.
Ilmu Al-Tahrirat.
Al-Qiraat Al-Syazzah.

Manakala subjek-subjek yang berkaitan dengan ilmu-ilmu Al-Quran adalah seperti berikut:
1. Ulum Al-Quran.
2. Manahij Al-Mufassirin.
3. Tafsir Al-Quran.
4. Sejarah Mushaf.
5. I’jaz Al-Quran.
6. Ilmu Al-Dalalat(Semantik).
7. Tatabahasa (Nahu dan Saraf) serta I’rab Al-Quran.
8. Ilmu Al-Difau’ an Al-Matai’n(ilmu menangkis tuduhan-tuduhan terhadap Al-Quran).

Disamping itu subjek-subjek lain yang turut dipelajari:
1.Ilmu Fiqh.
2.Ilmu Al-Aqidah.
3.Al-Sirah Al-Nabawiyyah.
4.Al-Hadith wa U’lumuh.
5.Bahasa Inggeris.


KAJIAN-KAJIAN SETIAP SUBJEK

1.Penghafalan Al-Quran.
Peperiksaan Al-Quran dijalankan secara bertulis dan lisan dan menumpukan penguasaan terhadap ayat-ayat Mutasyabihat iaitu yang hampir serupa dan mengelirukan.

2.Ilmu Al-Qiraat (Teori dan Praktikal).
Kajian terhadap Qiraat yang tujuh dan sepuluh(usul dan farsh) melalui matan dan syarah. Perbezaan dengan apa yang pernah dipelajari di maahad adalah penggunaan kitab-kitab Turath yang lebih meluas dengan kajian-kajian yang lebih mendalam daripada segi Turuq yang banyak.

3.Sejarah ilmu Al-Qiraat.
Kajian yang menyentuh asal usul kewujudan Al-Qiraat dan kajian-kajian para ulama silam terhadap ilmu ini.



4.Taujih Al-Qiraat.
Kajian terhadap hujjah dan bukti bagi setiap Qiraat yang lebih menjurus kepada tatabahasa bahasa Arab secara khusus serta pengaruh dan kesan Qiraat terhadap tafsir Al-Quran.


5. Ilmu Al-Aswat (Fonologi) dan Al-Lahajat (Dialek).
Kajian terhadap huruf-huruf serta baris Al-Quran yang menekankan aspek sejarah,kaedah dan pembuktian terhadap kefasihan setiap cara penuturan berdasarkan kajian-kajian ulama’ silam.


6. Ilmu Al-Waqf wa Al-Ibtida.
Kajian mengenai kaedah memulakan dan memberhentikan bacaan Al-Quran yang sangat berhubung rapat dengan ilmu tafsir.


7. Ilmu Al-Rasm Al-Uthmaniy.
Kajian mengenai tatacara penulisan Al-Quran di zaman saidina Uthman R.A.


8. Ilmu Al-Tahrirat.
Kajian mengenai Turuq dalam satu-satu Qiraat yang melibatkan kesahihan Qiraat tersebut bagi mengelakkan percampuran bacaan.


9. Al-Qiraat Al-Syazzah.
Kajian mengenai Qiraat yang tidak memenuhi rukun-rukun Qiraat yang sahih yang melibatkan cara bacaan,hujjah dan kesannya terhadap tafsir.


10. Ulum Al-Quran.
Kajian mengenai perbahasan-perbahasan ulama’ mengenai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran secara umum.


11.Manahij Al-Mufassirin.
Kajian mengenai metodologi para ulama’ tafsir yang menyentuh pendekatan dan aplikasi mereka dalam mentafsirkan Al-Quran.


12.Tafsir Al-Quran.
Kajian mengenai tafsiran ayat-ayat Al-Quran sama ada berbentuk tahlili atau pun maudhui’.


13.Sejarah mushaf.
Kajian mengenai sejarah penyusunan Al-Quran yang menyentuh tatacara serta pembuktian bahawa Al-Quran yang ada sekarang adalah sama seperti yang terdapat di luh mahfuz dan tersusun secara tauqifi.

14.I’jaz Al-Quran.
Kajian mengenai kemukjizatan Al-Quran daripada segi balaghah dan bayan.


15.Ilmu Al-Dalalat (semantik).
Kajian mengenai asal-usul makna khususnya yang berkaitan dengan kalimah-kalimah Al-Quran serta metodologi para ulama’ dalam menganalisis makna-makna tersebut.(tarikhi dan wasfi).


16. Tatabahasa(nahu dan saraf) dan I’rab Al-Quran.
Kajian mengenai nahu dan saraf(teori) serta I’rab Al-Quran(praktikal).


17. Ilmu Al-Difau’ an Al-Matai’n(ilmu menangkis tuduhan-tuduhan terhadap Al-Quran).
Kajian mengenai tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh para orentalis terhadap Al-Quran serta jawapan kepada tuduhan-tuduhan tersebut.


SISTEM PEPERIKSAAN


Peperiksaan dijalankan mengikut semester iaitu 2 kali dalam setahun pengajian. Semua pelajar diwajibkan lulus semua mata pelajaran atau gagal tidak lebih daripada 2 subjek untuk meneruskan pengajian pada tahun seterusnya. Semua subjek hanya diduduki peperiksaannya sekali sahaja melainkan Al-Quran. Untuk tahun akhir, diadakan peperiksaan tasfiyyah bagi meluluskan semua subjek yang tertinggal/tertangguh(tidak lebih 2 subjek). Pangkat bagi Syahadah yang diperolehi dikira mengikut pangkat peperiksaan pada tahun terakhir.


KELULUSAN

Skema kelulusan dan gred adalah berdasarkan peratus seperti berikut:

A- CEMERLANG (MUMTAZ) : 90% - 100%
B- KEPUJIAN 1 (JAYYID JIDDAN) : 80% - 89%
C- KEPUJIAN 2 (JAYYID) : 65% - 79%
D- LULUS (MAQBUL) : 50% - 64%
E-GAGAL (DHOIF) : 49% DAN KE BAWAH.

PENGIKTIRAFAN

Para lepasan kuliah ini yang telah lulus peperiksaan ialah pemegang ijazah pertama (Bachelor of Art) dan diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar Al-Syarif dan juga pihak-pihak yang turut mengiktirafnya seperti JPA di Malaysia.



TENAGA PENGAJAR

Terdiri daripada pakar-pakar yang berkelulusan Ph.D dalam bidang masing-masing. Dekan kuliah ini ialah Prof.Dr.Judah Muhammad Abu Yazid Al-Mahdi, seorang ulamak Al-Azhar yang tidak asing lagi dalam bidang Tafsir dan Ulum Al-Quran.


LEPASAN

Setakat sessi 2001/2002 hanya 4 orang sahaja anak Malaysia yang berjaya menghabiskan pengajian mereka di kuliah ini. Mereka ialah:
1.Ustaz Abdul Rahim (Terengganu).
2.Ustaz Sobri (Terengganu).
3.Ustaz Shahruddin bin Yaakob (Kelantan).
4.Ustaz Mohd. Nizamuddin bin Ahmad (Selangor).

PENUTUP

Demikianlah penerangan ringkas berkenaan kuliah ini, semoga kita sentiasa berazam untuk mendalami segala ilmu Al-Quran yang tidak bertepi itu, memohon kekuatan dan hidayat daripada Allah agar dipilih menjadi salah seorang daripada AL-ULAMA’ AL-A’MILIN.


قال الله تعالى:

إن الذين يتلون كتب الله وأقاموا الصلوة وأنفقوا مما رزقنهم سرا وعلانية يرجون تجارة لن تبور* ليوفيهم أجورهم ويزيدهم من فضله إنه غفور شكور.....
صدق الله العظيم
*di petik daripada bahan2 bacaan semasa masih menuntut di Shobra, Mesir(2003-2006)

Tiada ulasan: