TIBA-TIBA anda terasa tidak bermaya sekali. Hidup umpama tidak bererti. Nyata anda telah kehilangan motivasi diri. Apa yang harus anda lakukan?Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan sekaligus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, “Hai, engkau dijadikan bukan untuk berkeluh kesah”.Berikut adalah langkah-langkah 10 cara membina motivasi diri yang disarankan oleh Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, yang saya petik dari bukunya yang bertajuk “Membina Jati Diri Cemerlang”.
1 PERBAIKI IMEJ ANDA Cuba lakukan sedikit perubahan. Kalau selama ini anda tidak kisah dengan baju atau seluar yang tidak bergosok, cuba kali ini gosoknya dengan licin dan pelbagaikan warnanya. Ubah gaya anda berjalan, sesuai dengan penampilan baru anda. Tapi, janganlah berjalan dengan penuh sombong di bumi Allah ini.Jika anda wanita, cuba tukar imej kusam kepada kemas. Jangan terlalu pendiam tetapi jangan pula terlalu membuat bising. Jagalah batas anda sebagai seorang muslimah. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika ada orang meminta pandangan ataupun pendapat anda.
2 LAKUKAN SENAMAN RINGAN Tubuh yang lemah, lembik dan lembam boleh dipulihkan dengan melakukan sedikit senaman ringan untuk menggerakkan tubuh. Tidak perlu melakukan senaman-senaman yang berat kerana ia hanya akan menyebabkan tubuh anda letih, dan menjejaskan tumpuan anda belajar. Keletihan hanya akan menyebabkan anda kembali tidak bermaya. Malah mengikut kajian, bukan semua orang sesuai melakukan senaman berat. Sesetengah orang, atas sebab-sebab kesihatan dan fizikal semulajadinya lebih digalakkan supaya tidak bersenam dengan berat.Senamkan juga minda anda dengan membaca atau mencuba sesuatu yang berhalangan. Cara terbaik membuat senaman minda adalah dengan membaca, merenung, mempersepsi dan juga membuat ta’akulan.
3 SENYUM Senyuman boleh mengubah segala-galanya. Dalam mood yang tidak baik, memang agak sukar hendak melakukan ini, tapi ingat jika anda senyum pulangannya serupa. Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda akan mendapat senyumannya balik. Jika anda memasamkan muka, orang lain juga akan memasamkan muka mereka terhadap anda.Sifir kehidupan ini mudah, anda berbuat baik kepada orang lain anda akan dibalas dengan kebaikan yang sama atau mungkin dengan yang lebih baik. Jika anda berbuat jahat kepada orang lain anda akan mendapat balasan yang serupa atau yang lebih teruk. Dosa dibalas dengan neraka, kebaikan akan dibalas dengan Syurga. Bukankah itu suatu keadilan?
4 BERFIKIRAN POSITIF Berfikiran positif akan membuatkan perkara yang sukar akan bertukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan insyaAllah rezeki pun akan meluas.Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah ia menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH. Fikiran postif yang diiring dengan tindakan yang positif selalunya akan membuahkan kejayaan dan kecemerlangan.
5 DAPATKAN TIDUR YANG MENCUKUPI Kita memang memerlukan tidur yang berkualiti untuk mendapatkan kesegaran tubuh yang betul. Kalau telur ayam pun boleh digredkan mengikut kualitinya, demikianlah pula dengan manusia. Tidur-tidur ayam adalah tidur yang tidak berkualiti dan menyebabkan minda terdera serta tidak mendapat kerehatan yang secukupnya.Rasa runsing, marah-marah mahupun tidak semangat adalah antara natijah daripada keletihan akibat tidak cukup tidur ataupun tidur yang tidak berkualiti.
6 LUAHKAN PADA SESEORANG Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda tidak berasa stabil, bahkan dalam semua keadaan pun anda memerlukan seorang sahabat. Sahabat adalah seseorang yang amat memahami anda dan sedia menjadi sahabat biar dalam kesusahan apatah lagi dalam kesenangan.Maka pilihlah sahabat yang baik, berbudi dan beriman kerana ciri-ciri yang ada pada dirinya itu adalah cermin keperibadian anda juga.
7 CURAHKAN DI ATAS KERTAS Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudian bakar atau hanyutkan ke sungai. Macam mana? Terasa lega?
8 BERSEDIA UNTUK BERUBAH Jangan teragak-agak untuk melakukan perubahan. Bulatkan hati, kuatkan tekad dan oraklah langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Tanpa berkalau-kalau lagi. Lakukan dengan perubahan sepenuh hati dan lihatlah hasilnya nanti.
9 CARI KEGEMARAN BARU Setiap kegemaran kita akan ada hayatnya. Umpamanya kita sebagai manusia, suatu hari nanti pasti kita akan mati. Begitu juga dengan kegemaran, sampai masanya pasti anda akan berasa jemu. Tidak salah untuk mencari kegemaran baru untuk mendapatkan lebih motivasi untuk mencorak kejayaan. Umpamanya jika dulu hobi anda adalah menulis, apa salahnya anda cuba meneroka suatu yang baru seperti melukis.
10 BERTEGASLAH Bertegaslah dengan diri sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan, anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya. Apabila anda mengatakan pada diri sendiri untuk kembali ceria, bertegaslah untuk terus berkata begitu biarpun kadangkala kepahitan perkara lama masih terpahat di hati, walaupun perasaan anda dibuai-buai untuk mengatakan anda sedang bad mood sekarang.Bertegas pada diri bukan ertinya anda tidak boleh memanjakan diri sendiri. Sekali-sekala layanlah diri anda sendiri sebagaimana anda melayan tetamu yang datang ke rumah. Juga anda boleh beri hadiah pada diri sendiri. Itu pun salah satu daripada cara menghargai diri.Jika anda sendiri tidak selesa untuk menghormati diri anda, apakah wajar anda mengharap demikian daripada orang lain? Nah, sekarang bukankah masanya untuk bertiindak sesuatu.Itulah antara saranan-saranan untuk memotivasikan diri. Jika anda bermasalah sekalipun cubalah untuk mengatasinya. Setiap penyakit ada ubatnya. Sama jugalah dengan masalah. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Tempat yang sebaik-baik untuk kita mengadu adalah kepada Allah SWT. Dialah yang mencipta kita. Dialah yang tahu segala kelebihan dan kekurangan pada kita. Dialah yang paling hampir dengan kita waktu susah dan senang. Mohonlah padaNya, mohonlah Taufik dan Hidayah dariNya, mohonlah kekuatan dariNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan