Khamis, 5 Julai 2007

** Menulislah Demi Islam **



Oleh: Abdul Mu’izz Muhammad

(Ketua Badan Penerangan Dan Penerbitan PMRAM 2007)

ن والقلم وما يسطرون
“Nuun, demi pena dan apa yang mereka tulis”

Surah Al-Qalam ayat 1.


Allah Maha Adil dalam mengurniakan kelebihan dan kebolehan pada manusia. Jika berbicara mengenai dakwah, menulis adalah salah satu medium penting untuk menyampaikan risalah Islam.
Bagi mereka yang tidak petah bercakap apatah lagi hebat berpidato, penulisan adalah bahagian kalian. Menulislah berdasarkan ilmu yang terbuku di hati. Sampaikanlah hasrat tersebut kepada umat.
Mungkin jika Imam Al-Nawawi tidak tekun menulis, kita tidak mengecapi mutiara ilmu darinya bahkan mungkin kita pun tidak mengenalinya. Mungkin juga kalau Imam Al-Sayuthi tidak menulis, tidak sampai ilmunya kepada kita. Sayyid Qutb menulis syairnya yang masyhur ‘Akhi Anta Hurr’ beberapa detik sebelum digantung, pengaruhnya sehingga mampu meniup api perjuangan umat. Begitu juga Muhammad Iqbal dari benua India menggunakan seni penulisan membangkitkan kesedaran Islam. Itulah sedikit contoh dan gambaran sejauh mana efek pena di dalam institusi dakwah.
Dari beberapa sudut, kadang-kadang kesan penulisan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding ucapan. Jika berceramah, ia setakat di situ kecuali disertakan rakaman. Sebaliknya dengan penulisan, ia akan terus ditatap bahkan menjadi aset besar setelah kematian kita.
Ada golongan yang minat penulisan kreatif yang bersifat santai seperti sajak, novel, cerpen dan sebagainya. Ada pula yang hanya meminati penulisan non kreatif yang sarat dengan fakta-fakta ilmiah. Gunakanlah kecenderungan kalian untuk terjun secara serius dalam bidang penulisan demi Islam.


Apa tugas kita?
Cipta satu pengaruh baru dalam bidang penulisan kreatif menyaingi konsep yang tidak jelas bermatlamat rabbani. Pandu remaja yang minat membaca novel khayalan ke arah novel yang berunsur dakwah.
Karang buku atau artikel rujukan yang memberi manfaat pada umat Islam di Malaysia khasnya. Banyak isu dan permasalahan yang masih belum dirungkai dengan penulisan lengkap berbahasa Melayu. Jika belum mampu mencerna ilmu dengan penulisan sendiri, terdapat ribuan kitab-kitab rujukan berbahasa Arab yang masih belum diterjemah. Pilihlah mengikut prioriti semasa. Disiplin dan amanah terhadap ilmu jangan dipandang ringan. Umat Islam dahagakan karya-karya bermutu mahasiswa-mahasisiwi Al-Azhar.
Jadikan penulisan salah satu dari uslub dakwah kita sekaligus dijadikan hobi yang beroleh pahala. Semoga usaha kita berkongsi ilmu menjadi saham ketika hari pembalasan.

Tiada ulasan: